| 0 comments ]
Hari Raya adalah antara sambutan perayaan yang terbesar bagi rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Mengikut kronologinya, seluruh umat Islam akan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan selama sebulan.

Hari Raya merupakan hari yang amat dinanti-nantikan oleh golongan kanak-kanak, malah orang dewasa juga menunggu ketibaan Hari Raya. Malah, bagi golongan dewasa, inilah masanya untuk mereka mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah sekian lama sentiasa sibuk dalam menjalanakan tugasan untuk mencari rezeki di bandar.

Apabila diperkatakan dengan suasana Hari Raya, terdapat perbezaan antara suasana masa lampau dan masa kini. Jika diimbas kembali, Hari Raya disambut amat meriah sekali. Sanak saudara berkumpul bersama-sama untuk meraikan Hari Raya serta menziarahi jiran tetangga. Pada masa dahulu juga, amalan ziarah menziarahi juga diamalkan semasa Hari Raya. Ada juga yang membuat rombongan untuk menziarahi sanak saudara dan kenalan yang tinggal agak jauh dari kampung untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Namun begitu, keadaan sekarang amat berbeza dengan suasana sambutan Hari Raya pada masa dahulu. Seyugia syarikat penyiaran televisyen berlumba-lumba untuk menyiarkan rancangan-rancangan menarik untuk menarik minat penonton agar menonton rancangan-rancangan mereka. Kesannya, anak muda pada masa kini lebih terdorong untuk menonton rancangan-rancangan yang disediakan dan tidak mahu untuk menyertai ahli keluarga lain untuk menziarahi sanak saudara dan kenalan masing-masing. Ini telah menyebabkan amalan ziarah-menziarahi tidak lagi dijadikan amalan utama semasa menyambut Hari Raya.

Selain memperkatakan tantang amalan ziarah-menziarah, duit raya merupakan satu lagi amalan yang sememangnya amat berkait rapat dengan sambutan Hari Raya. Amalan ini telahpun menjadi amalan sejak turun temurun lagi. Kanak-kanak sememangnya menantikan Hari Raya juga kerana ingin mendapatkan duit raya. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang mendapat duit raya yang berjumlah 50 sen juga sudah memadai bagi mereka. Namun begitu, zaman sudah berubah. Duit raya bernilai RM2 yang diberikan kepada kanak-kanak pada masa kini dianggap tiada nilainya. Malah, nilai biasa yang diberikan kepada kanak-kanak pada masa ini adalah sekurang-kurangnya RM5. Inilah antara evolusi sambutan Hari Raya di negara kita.

Walaupun terdapat evolusi dalam menyambut Hari Raya, namun masih ada yang mengekalakan ‘amalan’ sambutan Hari Raya ini iaitu membeli pakaian baru. Tidak kiralah berapa banyak pun pakaian yang dibeli, waktu-waktu menjelang Hari Rayalah banyak orang akan berpusu-pusu untuk membeli pakaian baru. Malah ada juga situasi yang mana mereka hanya membeli pakaian baru hanya ketika menjelang Hari Raya sahaja!

Walau apa pun sambutan Hari Raya bagi setiap individu, amatlah diharapkan agar setiap orang mengamalkan setiap amalan baik dan menjauhi amalan-amalan yang kurang baik. Jadikanlah Hari Raya antara sambutan perayaan yang membawa kebaikan kepada semua dan elakkan perkara-perkara buruk dari berlaku.

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.