| 1 comments ]
Siapa mereka? Aku pun tak tahu siapa mereka. Tak ada subjek manusia secara umum di sini, mungkin ada sedikit.

Beginilah, aku cuma mahu luahkan apa yang dah berlaku sejak tiga hari yang lalu. Baik atau tidak kisahnya, kamu sahajalah yang menentukannya. Aku pun dah pening nak memikirkannya.

Nak senang aku ambil cerita dari hari Isnin, sebab hari Ahad adalah hari gembira (campur agak sedih) bagi aku.

Isnin lalu, aku masih belum boleh menghantar kabel pengecas iPhone Pesa yang tertinggal di rumah aku kerana aku masih belum ada alamatnya lagi! Aku cuma dapat alamat dari Pesa dalam pukul 3 petang. Aku pun dah malas nak keluar. Isnin berlalu begitu sahaja tanpa ada apa-apa yang menarik.

Selasa paginya, aku bangun awal. Seperti biasalah, aku memang bangun awal. Aku nak lepak-lepak sekejap. Sekejap bagi aku adalah melangkaui dari bangun pagi sehingga selepas makan tengah hari. Jam 2.00 petang, aku nak ke pejabat pos. Buat apa lagi, hantar kabel si Pesa lah. Kemudian, aku nak ke bank CIMB pula nak cash out cek aku. Cek apa, tak payahlah aku bagi tahu. Anggap sahaja seperti aku dapat duit raya dari jiran aku.

Tibanya di Jalan Bank, Kuantan aku mencari tempat parkir kereta. Biasalah, di kawasan itu, jumlah kereta ada 300 buah, tetapi petak yang tersedia cuma ada 120 sahaja. Mana aku nak cari? Aku pun pusing-pusing, keluar masuk kawasan hinggalah aku terjumpa satu ruang kosong di depan pintu masuk Pejabat Pos Besar Kuantan. Sebuah kotak letak kereta yang kosong! Tetapi ada pula motosikal yang menyempitkan keadaan. Tak ada sivik langsung orang ini. Aku tak kisah, aku letak sahaja di situ sebab itu tempat letak kereta, bukan motosikal.

Urusan aku di pejabat pos tak ada masalah besar, melainkan aku ditanya soalan pelik-pelik oleh mak cik yang nak hantar kotak menggunakan khidmat pos laju rasanya. Ada pula dia kata tak nak orang yang terima kotaknya itu tahu dari siapa dan dari mana... aku pun terfikirlah bukan-bukan. Ini nak hantar ke madu diakah? ataupun nak hantar bom? ataupun nak hantar virus antraks secara besar-besaran? ataupun itu, ini? Kalau musibah yang berlaku, nanti aku juga yang dikatakan bersubahat. Malas aku nak fikir, aku bagi sahaja arahan kepadanya. Asalkan aku menghilangkan diri selekas yang mungkin selepas itu.

Tamat urusan di pejabat pos, aku terus ke bank CIMB. Perkara utama yang aku fikir ialah, bagaimana nak cash out cek? Aku tak pernah mengendalikan cek seumur hidup aku, melainkan aku membuat check list ataupun spot check. Walaupun aku pelajar Kolej MARA, jangan kamu ingat aku pernah pegang cek dari MARA... aku tak pernah dapat walau sekeping pun cek dari MARA sebelum ini! Kalau tak percaya, tanya Ustad, Azri, Bobo, dan rakan-rakan seangkatan aku. Sebab itu aku tak tahu langsung mengendalikan cek.

Apabila aku sampai sahaja ke bank CIMB, aku bertanyalah kepada pak cik yang duduk di kaunter depan pintu masuk (kaunter pertanyaan rasanya), dia kata, boleh saja dan kemudian dia minta tengok cek aku. Dia pun katalah, cek ini tak boleh cash out, kena masukkan ke dalam akaun bank. Aku pun bertanya dia kembali yang aku tak ada akaun CIMB. Dia dengan tenang sahaja menjawab, tak perlu ada akaun CIMB, akaun bank lain pun boleh. Lalu dia tanyakan aku satu soalan. Aku ada akaun bank apa... lalu dengan pantas aku menjawab, BSN. Dengan lajunya dia potong ayat aku, "bank lain?"

Aku berfikir sejenak, "Bank Islam," aku menjawab. Lalu terus dia bagi tahu cara nak masukkan cek ke dalam akaun aku. Dari dialog aku tadi, nampak sangatlah yang BSN ini ditolak awal-awal oleh mereka. Tahu-tahu sajalah, semua urusan BSN terlalu perlahan!

Tak apalah, aku tak boleh cash out cek aku, aku nak keluarkan sejumlah wang dari ASB aku. CIMB memang boleh keluarkan ASB, tetapi aku tak jumpa borang ASB. Apabila dah tertekan, aku terus ke Maybank yang berada berdekatan kerana aku biasa berurusan dengan Maybank. Dengan penuh semangat, aku mengisi borang ASB dan apabila aku mahu mengambil nombor giliran, tiba-tiba talian tergendala (offline). Bertapa tertekannya aku pada masa itu. Waktu pejabat tinggal sejam sahaja lagi.

Kemudian, aku kembali ke CIMB, terus menuju ke kaunter pertanyaan untuk meminta borang ASB, aku dapat sahaja, aku dapati borangnya sama sahaja seperti yang aku isi di Maybank. Apa lagi, borang baru aku simpan, borang lama aku gunakan di CIMB. Aku terus mengambil nombor giliran dan aku perlu menunggu lebih kurang 30 giliran lagi. Lama betul.

Nak diseronokkan ceritalah, adalah seorang staf di bank CIMB itu, rupanya agak lawa jugalah. Apa lagi, aku renung sajalah dia. Biasalah, apabila otak kiri dah menguasai, nakal teruslah otak aku. Terus aku terfikir, kan seronok kalau akak ni yang urus urusan aku nanti. Nampaknya 'doa' aku termakbul. Memang dia yang menguruskan urusan aku di bank itu. Apa lagi, seronok sakanlah aku... tetapi aku tak adalah menunjuk sangat perangai gila aku itu. Sekadar senyum sahajalah kepadanya.

Apabila pulang ke rumah pula, aku mendapati Windows XP laptop aku sudah corrupt. Masalah besar betul. Mujurlah aku ada Ubuntu menyelesaikan beberapa masalah aku.

Hari rabu pula, aku keluar lagi untuk ke Bank Islam. Selain itu juga, aku perlulah menghantar sandal adikku untuk dijahit olrh tukang kasut. Aku pun letaklah kereta aku di kawasan bangunan SSF Decomart (tak tahulah apa dah jadi sekarang). Aku cari punya cari, tak jumpa-jumpa. Mana pergi itu tukang kasutlah. Bikin aku pening sahaja. Lalu aku teringat tempat yang telah membayangkan aku, ibarat mendapat visi... aku pun lalulah di kawasan itu, dan aku mendapati rupa-rupanya aku cari salah tempat. Pak cik tukang kasut itu tak pernak lari pun ke mana-mana. Aku sahaja yang melalut entah ke mana-mana.

Balik-balik sahaja ke kereta, aku kena kompaun kerana tak letak kupon letak kereta. Aduh, rugi aku RM5.

Semasa di Bank Islam, mujurlah ada ramai gadis-gadis muda di situ. Mula dah, otak kiri aku membuat hal. Macam-macam dihasutnya. Namun begitu, aku ini kan baik. Aku menangkis segala hasutan otak kiri aku melainkan aku suka-suka melihat wajah mereka yang comel-comel. Mana yang macam sombong-sombong, sampai kiamat aku tak nak tengok mukan mereka. Aku lihat-lihat, jeling-jeling sahajalah mereka, dapat juga aku menenangkan jiwa. (kononnyalah)

Aku menunggu lebih sejam, dan kemudian kerani itu berkata, cek ini masukkan di mesin cek... apa-apa sajalah yang dia kata, aku pun tak ingat. Mujurlah aku ada buat perancangan tambahan dengan memasukkan wang dari ASB ke dalam akaun Bank Islam aku. Tak perlulah aku bagi tahu berapa jumlahnya. Anggap sahaja setakat mampu bayar makan aku selama lima hari sahaja di UMP.

Selesai urusan di kaunter, aku pun ikutlah arahan untuk mengisi cek aku tadi ke dalam mesin yang dimaksudkan. Adalah arahan yang diberikan, aku kena ikutlah... terutama meletakkan cek dan borang ke dalam sampul yang pihak bank sediakan. Aku pun nak ambil sampul yang dimaksudkan, tetapi kawasan itu penuh dengan orang yang sedang mengisi borang! Di situ ada dua bahagian, bahagian kiri dan bahagian kanan. Kedua-dua bahagian ada sampul yang dimaksudkan. Namun begitu, kedua-dua bahagian dihalang oleh orang yang mengisi borang. Di kiri, ada sepasang suami isteri, atau sepasang kekasih, atau sepasang tunang... apa-apa sajalah! Asalkan bukan sepasang anting-anting sedang mengisi borang apa entah sambil tersenyum-senyum... naik meluat aku. Nak bermesra pun lain tempatlah! Di sebelah kanan, ada dua orang perempuan, yang dari pengamatan aku, seorang dari mereka adalah si ibu, dan seorang lagi adalah si anak.

Lalu aku mendapat satu idea, apa kata aku minta izin dari si emak untuk aku mengambil sampul yang aku perlukan itu. Aku pun mintalah izin dengan penuh sopan dan tatatertib. Niatnya mudah sahaja, selain menghormati orang tua, manalah tahu kan, nanti si emak berjumpa dengan aku lagi nanti, dia akan sukakan aku... hehe... ha, kamu mulalah fikir lain, bukannya aku nak si emak, maksud aku mungkin si emak sukakan aku, bolehlah aku jadi menantunya nanti. Si anak pun boleh tahan kemanisannya. Hehe... geliga sungguh kepalaku ini.

Habis sahaja urusan aku di bank, aku pun kembalilah ke kawasan aku menghantar sandal adik aku tadi. Aku pun letaklah kereta aku depan bank Affin Bank. Kupon letak kereta aku masih hidup lagi untuk tempoh 20 minit, aku pun pergilah ke kedai roti/kek untuk membeli roti. Aku lapar pada masa itu. Aku pun main belilah roti-roti yang aku rasakan sedap dimakan. Balik sahaja ke kereta, adalah sebuah pacuan empat roda membuat double parking menghadang kereta aku. Nak kata teruk lagi, dia tinggalkan terus keretanya tanpa penghuni. Aku pun mulalah menyumpah orang yang begini rupa. Aku pun dengan perasaan amarah yang dibuat-buat, aku menekan bunyi hon kereta aku sepuas-puasnya. Bagi orang lain, mungkin aku dah marah teramat sangat, tetapi bagi aku, inilah masanya untuk aku main-main dengan hon kereta aku dan berlagak seperti sedang marah.



Sabar sajalah, sabar itu sebahagian dari iman



Tak lama kemudian, kembalilah tuan punya pacuan empat roda yang menhalang kereta aku. Boleh pula dia buat muka 'seposen' pada aku, ini yang membuat aku betul-betul marah. Kali ini aku tak main-main marah, aku dah memang marah. Maaf pun tak dia pinta! Kurang asam punya perempuan. Sudahlah buang masa aku, minta maaf pun tidak. 5 minit yang aku tunggu boleh bagi aku keuntungan berjuta-juta ringgit! (macam betul sahaja banyak ini aku boleh buat)

Aku pun apa lagi, buatlah muka tahi minyak (aku tak nak guna tahi lain... najis mughalazah, nanti kena samak pula) pada perempuan itu semula. Kemudian, aku pun terus memecut pulang ke rumah.

Inilah kisah aku bersama bank, pejabat pos, dan juga pengguna jalan raya yang tak bertanggungjawab. Sekarang, aku masih bingung memikirkan masalah laptop aku.

*****

Nota Kaki:
1. Mujurlah aku sedang mendengar lagu-lagu yang best di jango.com. Tenang juga minda aku.

1 comment:

  1. Haha..Sangat kelakar.. Kitorang pakai BSN boleh je masuk cek.. 1 minggu dah boleh ambil duit..

    ReplyDelete

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.