Eksperimen

Kalau zaman sekolah dulu, pasti eksperimen ini selalu berkaitan dengan subjek Sains, Kimia, Biologi atau Fizik. Kalau tak pun mungkin ada subjek yang memerlukan banyak eksperimen. Eksperimen yang paling aku tak dapat lupakan adalah semasa di Tingkatan 1 yang ketika itu cikgu subjek Sains aku membuat eksperimen yang menghasilkan gas ammonia.

Pada mulanya dia tak mahu membuat eksperimen tersebut dan dia telah memberi amaran bahawa kesan-kesan ammonia dan juga betapa busuknya bau gas tersebut. Kami ni biasalah, walaupun sudah masuk ke alam sekolah menengah, sifat ingin tahu kanak-kanak masih tinggi. Kami tak kisah akan semua itu.

Sekali cikgu aku siapkan eksperimen, pergh! bau sangat 'semerbak' telah 'mengharumi' seluruh makmal pada masa itu! Walaupun kepekatan ammonia tidaklah tinggi hingga boleh mengakibatkan bencana biologi, namun kesan baunya amat kuat hingga melekat pada baju sekolah kami. Seingat aku, ada seorang rakan sekelas tak mampu menahan bau tersebut dan hampir-hampir sahaja nak termuntah.

Itulah kesannya eksperimen. Seronok pada masa itu. Dapat melihat kejadian yang tak mungkin dapat dilihat di luar pintu makmal.

Apabila masuk ke dalam dunia nyata, banyak juga eksperimen yang dah aku lakukan. Bukan eksperimen kimia atau sains, tetapi eksperimen komputer. Nak ketawa kejap... hehehe.... Hah, apa kaitannya eksperimen dengan komputer? Sekejaplah, aku nak ceritalah ni.

Pada mula aku mendapat laptop, aku suka install macam-macam perisian. Tak kisahlah, perisian yang tal perlu pun aku masukkan sekali. Lama-lama mulalah, memori semakin tipis, komputer semakin lembab. Kononnya nak baiki sendiri, akhirnya jadi seperti tikus membaiki labu.

Akibat dari pengalam itulah apabila ada sahaja perisian baharu yang aku rasa nak install, aku akan melakukan eksperimen dahulu... di komputer lain. Kalau perisian itu bermakna dan takkan menyebabkan kerosakan kepada laptop aku, maka mungkin juga aku akan masukkan ke dalam laptop aku.

Kadang kala kasihanlah juga aku lihat komputer-komputer lain yang menjadi mangsa akibat malfunction perisian tersebut. Apa boleh buat, aku hanya boleh kata, "maaflah, aku tak tahu sangat pun pasal software ni."



Teringat pula cerita Mr. Bean



Jahat juga, tapi yang penting laptop aku selamat. Nak ketawa jahat pula... hahaha.

Dalam dunia ini, pastinya kita pernah lakukan banyak eksperimen sama ada secara sedar atau tidak. Contoh paling senanglah, apabila kita nak cuba menu masakan di sesebuah kedai yang tak pernah kita pergi. Itu eksperimenlah namanya. Kalau sedap, kita akan balik ke kedai yang sama. [Rindu pula sup tom yam di Tanjung Lumpur]. Itu soal makan, bagaimana pula dalam urusan hidup?

Pastinya banyak juga eksperimen yang telah kita lakukan bermula dari lahir lagi. Apa pun, semakin kita dewasa, semakin berat dan semakin penting bagi setiap eksperimen tersebut. Contoh terbaik adalah dalam membuat keputusan dalam hidup. Sekurang-kurangnya kalau kita gagal dalam satu cara, kita akan mencuba cara lain.

Ibarat kata-kata Thomas A. Edison apabila seorang wartawan bertanyakan perasaannya setelah gagal sebanyak 1000 kali, beliau menjawab, "Awak salah faham, saya tidak gagal sebanyak 1000 kali. Saya dengan jayanya berjaya menemui 1000 cara yang menyebabkan mentol tidak berfungsi."

Beranikah kita menjadi sepertinya? Hanya kita sahaja yang mampu menjawabnya. Pernah Napoleon berkata kepada seorang pegawainya, "Aku bukannya takut jika tanah wilayah aku ini dirampas oleh musuh, tetapi aku takut jika anak aku ini tidak pernah gagal, kerana jika tidak, dia tak akan pelajari erti kehidupan."

Inilah kepentingan eksperimentasi dalam hidup. Bukan semata bermakna untuk mendapatkan keputusan yang kita mahu tetapi juga adalah untuk mempelajari nilai-nilai kehidupan.

Walau apa pun, dalam banyak eksperimen, ada satu eksperimen yang tak boleh kita lakukan semula iaitu amalan kita di dunia.

“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : shadaqoh jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan kepadanya”.
- Sahih -


*****
Nota Kaki:
1. Akhirnya drama bersiri Nur Kasih sudah sampai penghujungnya.
2. Semangat betul budak-budak ni beraya. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Post a Comment

0 Comments