| 0 comments ]
Dunia kini agak sunyi tanpa deruman enjin berkuasa tinggi yang menjadi penantian oleh peminat sukan bermotor dunia. Sayangnya, enjin pertama yang akan berbunyi untuk berentap hanya akan bermula pada 12-14 Mac 2010 nanti di Bahrain.

Di sebalik lamanya lagi permulaan Formula 1 musim ini, sebuah jenama jentera yang telah lama menyepi selama 54 tahun kembali semula ke dunia Formula 1 dengan nama Mercedes GP Petronas Formula One Team. Pasukan ini telah menggantikan sebuah pasukan yang nama asalnya ialah Brawn GP sudah melancarkan keretanya, MGP W01 pada 25 Januari yang lalu. Kereta pertama dari pasukan ini juga menjadi taruhan kepada pasukan yang digelar Silver Arrows ini untuk memenangi kejuaraan pada musim ini setelah Brawn GP telah memberikan penanda aras yang tinggi pada musim lalu dengan menjuarai kejuaraan juara dunia bagi pemandu dan juga pembekal kereta.

Tidak kurang hangatnya pasukan ini apabila memanggil Michael Schumacher keluar dari persaraannya untuk kembali ke dunia Formula 1 dan berlumba bagi pasukan ini. Kehebatan Schumacher sememangnya telah diakui dengan telah menjuarai tujuh kejuaraan dunia dalam dunia Formula 1. Pelumba ini yang sudahpun disemat sebagai pemandu lagenda Formula 1 juga dilihat sebagai ancaman terbesar bagi pasukan-pasukan serta pemandu-pemandu lain.

MGP W01 yang bakal menjadi taruhan Mercedes GP Petronas

Di samping itu juga, tidak dilupakan kepada Nico Rosberg yang juga pemandu dari German hanya berumur separuh hayat berbanding Michael Schumacher. Rosberg yang sebelum ini memandu untuk pasukan Williams telah diberi kepercayaan yang besar untuk bergandingan dengan Schumacher. Kedudukan mata beliau pada musim lepas juga tidak begitu mengecewakan dengan berjaya menduduki tempat ke-7 dalam senarai pemandu. Ini juga menjadi bekal kepada pemandu ini untuk lebih bersaing bukan sahaja dengan pemandu dari pasukan lain, namun juga bersaing bersama rakan sepasukan yang lebih senior dan berpengalaman.

Michael Schumacher dan Nico Rosberg yang bakal bergandingan mengejar kejuaraan musim ini

Petroliam Nasional Berhad (Petronas) juga tidak melepaskan peluang besar ini dengan memberikan penajaan kepada pasukan ini selepas menamatkan kontrak penajaan daripada pasukan BMW Sauber yang telah menarik diri dari perlumbaan pada musim ini. Peluang ini juga memberikan implikasi besar terhadap publisiti perniagaan Petronas di samping 'mengiklankan' Malaysia dengan lebih berkesan dan agresif.

Dengan banyak peraturan baharu deperkenalkan untuk perlumbaan musim ini, pastinya akan memberikan lebih cabaran dan kehangatan kepada peminat-peminat Formula 1 di seluruh dunia.

Sudahkah anda bersedia untuk mendengan deruman enjin pertama di Abu Dhabi? Pastikan supaya tidak terlepas dari perkembangan Formula 1 yang pasti akan menjanjikan kehangatan berganda pada musim ini.

Tak lupa juga, sebuah pasukan yang juga kembali selepas 16 tahun menyepi, Lotus F1 Team juga bakal menjadi pasukan kebanggan rakyat Malaysia di samping pasukan Mercedes GP Petronas.

Sumber: http://www.mercedes-gp.com

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.