Transformasi dan Berubah

Kebelakangan ini, banyak hal yang berlaku. Bukan sahaja mahasiswa di universiti sedang menghadapi peperiksaan akhir, malah bagi golonga bapa-bapa dan ibu-ibu sibuk berkempen di Hulu Selangor dan yang akan datang nanti di Sibu pula. Aku pula pandai-pandai menyibukkan diri untuk membuat transformasi. Bukan transformasi yang berkaitan politik semasa atau yang sama maksud dengannya, tetapi transformasi terhadap laptop aku ini, BenQ Joybook T13.

Mengikut sejarah, laptop ini semasa dilancarkan di pasaran pada suatu ketika dahulu merupakan satu produk yang amat dikagumi oleh pengkritik. Laptop ini adalah yang pertama delengkapi dengan BenQ QEye 1.3 Mega Pixel built in webcam keluaran BenQ. Tambahan pula, laptop ini juga dilengkapi dengan sistem teknologi SRS TruSurround XT dengan pemacu grafik ATI Radeon Xpress 1150 dan dikuasai dengan pusat pemproses AMD Turion 64x2 Mobile Technology. Kalau sekali pandang pun nampak seperti sudah hebat dan mantap.

Bukan itu sahaja, laptop ini juga disertai dengan cakera keras berkapasiti 80GB (agak besar ketika itu) dengan RAM 1GB. Selain itu, laptop ini juga disertai dengan DVD burner dan built in Bluetooth. Selain itu, banyak lagi kelengkapan yang ada pada laptop ini sehinggakan aku merasai laptop aku ini sudah sempurna segalanya.

Namun begitu, itu adalah kisah empat tahun lalu, iaitu pada ketikanya laptop ini baru sahaja dipasarkan dan teknologinya masih lagi antara yang terbaik di antara berpuluh-puluh versi dan varians dari jenama lain yang seangkatan dengannya. Kini, laptop ini sudah diibaratkan seperti sudah empat tahun ke belakang dan teknologi-teknologi baharu muncul saban hari lalu melahirkan generasi laptop dan notebook yang baharu. Antara yang dikeluarkan oleh BenQ pada kini adalah BenQ Joybook S42 yang direka khas untuk memenuhi klasifikasi Windows 7. Pada masa lalu, laptop aku ini hanya sesuai untuk Windows XP sahaja.

Walaupun sedikit demi sedikit penaiktarafan telah dilakukan terhadap laptop ini, namun secara hakikatnya, ia masih lagi tidak dapat setanding dengan teknologi terkini. Namun begitu, ini tidak bermakna laptop ini akan dibiarkan keciciran di belakang ditinggalkan kemajuan teknologi semasa. Oleh sebab itulah aku melakukan beberapa transformasi untuk memastikan laptop ini masih lagi mengikuti kemajuan teknologi semasa.

Transformasi yang julung-julung kali aku lakukan adalah dengan menukar sistem operasi daripada Windows XP kapada Windows 7. Walaupun aku pernah menggunakan laptop ini secara hibrid, iaitu menggunakan dua sistem operasi dalam satu laptop iaitu Windows XP bersama Ubuntu, namun ketidakstabian Ubuntu untuk masa ini kurang memberikan impak secara total kepada aku di kala kebanyakan aplikasi tebaru yang sesuai untuk sistem operasi Windows pula kini lebih tertumpu kepada Windows 7 dan Vista berbanding Windows XP.


Paparan pada desktop dengan Sukhoi Su-30MK sebagai background.


Paparan pada desktop dengan Raptor F22 sebagai background.

Mungkin ada yang tertanya-tanya dengan klasifikasi laptop aku ni, adakah sesuai dengan Windows 7? Pada mulanya, aku agak meraguinya namun apabila sudah mula melengkapkan laptop ini dengan driver dan beberapa perisian, hasilnya boleh dikira agak memberangsangkan. Malah, jika dilihat pada Windows Experience Index, keputusannya agak baik dengan 3.0 iaitu kadar paling asas yang sesuai untuk Windows ini beroperasi dalam mod Aero. Markah yang agak baik untuk laptop yang sudah berusia empat tahun.


3.0: markah yang agak baik untuk laptop yang sudah berusia.

Walaupun begitu, terdapat beberapa isu timbul iaitu dari segi keboleh operasian beberapa hardware yang mengalami masalah penyesuaian driver dengan sistem operasi. Buat masa ini, satu aplikasi Bluetooth dan kamera web sahaja yang mengalami masalah penyesuaian ini. Bagi yang lain-lain pula tidak menunjukkan masalah yang jelas dan kritikal. Namun begitu, aku masih lagi sedang berusaha untuk mendapatkan driver yang sesuai dengan sistem operasi Windows 7 ini.


Laporan dari Device Manager.

Pelan selanjutnya, aku masih lagi cuba berusaha untuk menaiktarafkan laptop ini sebaik yang mungkin dan untuk jangka masa terdekat ini, aku sedang merisik harga bateri baru untuk laptop ini yang sudah tamat tempoh operasinya. Jangka hayatnya hanya mampu berkhidmat selama dua tahun setengah dan apabila di dalam tangan aku, ia mampu berkhidmat sehingga tiga tahun kini tidak mampu lagi menyimpan cas elektrik.Apa pun, aku akan usaha untuk mendapatkan bateri baharu untuk laptop aku ini.


Sedang mencari penggantinya. Kod bateri: SQU-409

Walau apa pun transformasi yang dilakukan, apa yang pasti adalah minda kita harus ditransformasikan agar dapat menjalani kehidupan yang baik untuk masa hadapan. Bukan sahaja transformasi dari segi pemikiran mengejar kemajuan teknologi, malah transformasi dari segi intelektual, kemajuan diri sendiri, pendidikan, emosional, IQ, EQ, SQ, inovasi, kepimpinan, politik, dan sebagainya. Janganlah kita hanya berbangga dengan kelebihan kita sedangkan kita ini hanya pandai bermain kata sahaja, tetapi tidak pula pandai memenuhi kata-kata. Haruslah kita kini menjadi lebih matang dan berdaya maju dalam mempelbagaikan nilai tambah dan modal insan dalam membawa negara untuk mencapai cita-cita negara bangsa. Insya-Allah.

*****

Nota Kaki:
1. Semua dah kemaruk cinta akibat melayan drama bersiri Adamaya dalam slot Akasia di TV3.
2. Sedang berusaha menahan sakit akibat ulser teruk pada pangkal rahang yang menyukarkan proses mengunyah makanan. Harap-harap cepat sembuh.
3. Aku memang suka jet pejuang. Maka, memang seronoklah bagi aku jika dapat menjadikan background wallpaper aku dengan slide show gambar jet pejuang sahaja.

Post a Comment

0 Comments