| 0 comments ]


Ada seorang jurutera bernama JuruteraX bekerja di sebuah syarikat pengeluar kereta. Dia bertugas di bahagian pembuatan lampu kereta. Pada suatu hari, dia bersama-sama sekumpulan jurutera ditugaskan untuk mereka bentuk sebuah kereta baharu untuk dikeluarkan oleh syarikat itu. Tugas pertama mereka adalah menghasilkan prototaip kereta tersebut.

Dia telah menerima tugas untuk membuat lampu bagi prototaip kereta tersebut. Setelah kerja-kerja mereka bentuk dan pembuatan lampu selesai, tibalah masanya untuk dia bersama-sama kumpulan jurutera yang lain untuk menggabungkan bahagian-bahagian yang ditugaskan kepada mereka untuk dijadikan sebuah prototaip kereta. Setelah semua bahagian digabungkan, kini tiba masanya untuk jurutera kawalan kualiti atau dalam bahasa Inggeris ialah quality control engineer (QC) untuk menjalankan tugasnya.

Setelah diperiksa semua bahagian kereta, didapati sambungan (attachment) antara badan kereta dan lampu kereta tersebut tidak mengikuti spesifikasi yang dikehendaki iaitu jarak antara kedua-dua bahagian itu melebihi jarak maksimum yang dibenarkan. Kemudian QC memanggil semula jurutera yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembuatan badan kereta dan lampu untuk membentangkan semula lukisan bahagian masing-masing. JuruteraX juga terlibat dalam pertemuan ini. Setelah dikaji semula didapati bahawa kedua-duanya mengikuti spesifikasi yang telah ditetapkan. Tiada siapa yang boleh dipersalahkan.

Perbincangan berterusan, dan kemudiannya mendapati bahawa bahagian pembuatan iaitu mesin yang memproses pembuatan bahagian kereta yang bermasalah itu yang menjadi penyebab mengapa sambungan antara badan dan lampu tidak memenuhi spesifikasi. Kemudian berbincanglah antara kedua-dua jurutera untuk mengalah, bahagian siapakah yang perlu diubah suai untuk memenuhi spesifikasi kereta yang dikehendaki. Akhirnya, bahagian lampu yang mengalah kerana kos untuk mengubah suai mesin memproses badan kereta lebih tinggi daripada memproses lampu kereta. Setelah berjaya memenuhi spesifikasi, akhirnya kereta itu dikeluarkan ke pasaran.

Seminggu selepas kereta itu dikeluarkan ke pasaran, ada seorang pelanggan telah mengadi akan masalah yang timbul pada kereta baharu itu. Setelah aduan sampai ke pihak atasan, jurutera jaminan (warranty engineer) datang semula ke pusat penyelidikan dan pembangunan untuk menyampaikan aduan pelanggan tersebut dengan membawa sebuah lampu. JuruteraX yang melihat kehadirannya berasa berdebar kerana masalah kereta itu datangnya dari bahagian yang dia telah dipertanggungjawabkan. Kemudian, masalah kereta itu dimaklumkan kepada JuruteraX.

"Orang ini, Mr. Chong mengadu yang lampu keretanya telah masuk air"
JuruteraX mula bimbang sekiranya ubah suai yang dilakukan kepada mesin pembuat lampu semasa menyiapkan prototaip dulunya yang menjadi punca kepada masalah ini. Lalu, dia memanggil semula semua jurutera yang terlibat dalam reka bentuk dan pengeluaran lampu kereta itu hatta ada di kalangan mereka telah berhenti dari syarikat pengeluar kereta itu.

Setelah dikaji semula, semuanya mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. JuruteraX bingung. Kemudian, dia meminta punca kepada lampu kereta milik Mr. Chong itu masuk air. Menurut Mr. Chong, dia selalu memanaskan enjin keretanya. Kemudian, pada suatu hari, selepas memanaskan enjin kereta, dia membasuh keretanya dengan menjirus air terus pada lampu keretanya. Kemudian, dia mendapati yang lampu keretanya berwap. Ditunggunya selama satu minit, wap air tidak hilang, ditunggu sehingga tiga minit, wap air tidak juga hilang.

Setelah mendapat tahu puncanya, JuruteraX kembali ke kilang pengeluar lampu kereta tersebut dan mendapati bahawa lampu itu memang dikeluarkan mengikut tahap kualiti sama seperti jenama Mazda dan Honda. Semuanya menjadi bingung. Akhirnya, jawapan yang dicari-cari telah diperoleh. Lampu yang dikeluarkan itu mengikut kualiti Jepun iaitu wap air yang ada dalam lampu itu hanya akan hilang selepas 30 minit. JuruteraX berasa lega kerana lampu itu memang tidak bermasalah. Kemudian, JuruteraX mencadangkan kepada pengurus untuk mendidik pengguna akan hal ini.

Untuk menyenangkan hati Mr. Chong, syarikat pengeluar kereta itu sanggup untuk memberikan satu tiket penerbangan percuma kepada Mr. Chong untuk melawat ke kilang pengeluar lampu tersebut. JuruteraX bersama beberapa jurutera lain pula hanya menaiki kereta sahaja untuk ke kilang tersebut dengan bertolak seawal 4.00 pagi. Apabila mereka sudah sampai di kilang tersebut, tunggu punya tunggu, Mr. Chong tidak juga muncul-muncul. Apabila mereka menelefon Mr. Chong, mereka mandapati bahawa Mr. Chong tidak dapat hadir, dan meminta utuk lawatan pada hari lain bersama-sama ahli keluarganya. Permintaan ditolak. Akhirnya, kes ditutup.

Pada suatu hari, dalam satu perjumpaan jurutera-jurutera yang membuat kereta tersebut, CEO kepada  syarikat itu hadir bersama. CEO itu hanya diam sahaja semasa mesyuarat itu dijalankan untuk mendengar perbincangan semua jurutera tersebut. Pada akhir mesyuarat, CEO itu mengarahkan kepada semua jurutera untuk menghasilkan lampu yang mampu untuk menghilangkan kabus dalam lampu tersebut dalam jangka masa yang dikehendaki oleh Mr. Chong. Kemudian, satu projek dimulakan dengan dinamakan Projek Chong.

Setelah sekian lama, projek itu tidak pernah berjaya. Malah, kini JuruteraX kini tidak lagi berkhidmat di syarikat tersebut dan setelah beberapa kali bertukar jurutera, lampu yang diminta oleh CEO itu tidak pernah berjaya dihasilkan. Kerana pulut santan binasa, kerana Mr. Chong jurutera binasa.

*****
Nota kaki:
1. Jurutera sentiasa mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul. Bukan mencari masalah.
2. Jangan salahkan jurutera jika kereta yang korang beli itu bermasalah. Semuanya salah sendiri kerana tak pandai guna kereta sendiri. Hehe...

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.