Rumah Usang (Bahagian 1)

Aku menerima panggilan cemas dari rumah. Aku perlu pulang juga malam ni. Tak boleh tunggu esok. Aku mulanya rasa leceh nak pulang tengah-tengah malam ni. Sudahlah jam menunjukkan sudah hampir pukul 1 pagi.

"Alah, lecehlah nak balik malam-malam buta ni!" keluh aku keseorangan.

Lalu dengan malasnya aku bersiap untuk pulang. Aku siap memakai jaket kulitku dan baju hujanku diletakkan dalam ruang simpan barang di bawah tempat duduk motosikal aku. Cuaca pula sejuk dingin menusuk ke sum-sum tulang aku.

"Aduh, nak hujanlah pula!" keluh aku lagi.

Kali ini, aku mencapai sahaja apa yang penting dan terus menunggang motosikalku dengan rasa risau dengan lori yang biasanya menggila tengah-tengah malam begini di atas jalan raya. Maklumlah, tengah-tengah malam begini manalah banyak kenderaan lain yang lalu. Lori-lorilah yang menjadi raja di jalan raya! Tambah-tambah lagi, jalan dari Gambang ke Kuantan sememangnya ada kawasan yang gelap gelita tanpa lampu jalan. Hanya lampu high beam sahaja yang mampu menemani dalam kegelapan malam kelam itu.

Oleh sebab aku nak cepat sampai, aku menunggang motosikalku dengan kelajuan hampir 120km/j. Agak lajulah bagi sebuah motosikal yang kapasiti enjinya hanya 125cc. Apabila sampai sahaja di kawasan gelap gelita yang aku maksudkan, aku lebih berhati-hati kerana biasanya ada sahaja lori yang laju mencicit di laluan tersebut.

Tiba-tiba, guruh di langit menggegar suasana malam. Kilat sabung menyabung pula menerangi langit malam kelam tersebut. Tak sampai seminit kemudian, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Terpaksalah aku berhenti di tepi jalan yang gelap gelita itu. Dengan rasa tak puas hatinya, aku merungut lagi sambil memakai baju hujan yang sudah aku sediakan tadi. Pada waktu yang sama, kepalaku masih memikirkan keselamatan aku untuk mengelak sebarang kemungkinan buruk apabila bertemu dengan lori.

Siap sahaja aku siap memakai baju hujan aku, aku memandang ke hadapan - iaitu melintasi jalan yang gelap itu. Dengan bantuan cahaya kilat yang masih sabung menyabung dan hujan yang semakin lebat, aku nampak sebuah rumah lama yang tidak ada penghuni. Aku berasa pelik dan hairan selama ini aku tak pernah perasan pun ada rumah tinggal di situ. Mungkin tuannya sudah lama tinggalkan rumah itu. Rumahnya besar dan cantik binaannya.

Aku abaikan sahaja rumah itu lalu pulang ke rumah. Setibanya di rumah, aku terus terlupakan tentang rumah tinggal tersebut.

Apabila aku pulang ke kampus, aku mendapat tahu cerita tentang rumah tinggal tersebut. Aku berasa agak pelik apabila cerita yang aku terima mengatakan rumah itu sudah usang dan lusuh sedangkan aku perasan pada malam itu, binaannya seperti baru sahaja disiapkan. Malah nampak cantik dan berseri.

Siang esoknya, aku ke tempat yang sama aku berhenti untuk memakai baju hujan beberapa hari lalu. Aku sekali lagi hairan, kenapa tak nampak pula objek rumah dari lokasi aku berhenti malam lalu. Sekarang, siang yang terang benderang ni pula tak nampak pun objek rumah itu. Aku rasakan sungguh hairan.

Setelah beberapa kali mencuba menjeling dan melihat kembali rumah tersebut hatta di siang hari mahupun malam yang gelap, aku tetap tak nampak rumah yang aku perasan pada malam itu. Ibarat tiada rumah langsung di situ.

Cuma, pada suatu pagi - ketika aku dalam perjalanan ke UMP Pekan menaiki bas, aku terpandang ke lokasi tapak rumah tersebut. Aku ternampak sesuatu objek yang besar, seperti apa yang aku nampak pada malam itu. Yang peliknya, rumah itu terselinding di sebalik pokok-pokok renek dan tak sepatutnya nampak terus dari jalan raya. Tambah-tambah lagi aku hanya berdiri di atas jalan raya. Aku perlu berada di tempat yang lebih tinggi - di dalam bas, barulah aku boleh nampak rumah tersebut.

Ada lagi kepelikan yang aku nampak. Rumah itu memang usang dan lusuh seperti yang aku dengar kisahnya. Malah, jendela tingkapnya juga telah disimenkan dan dilihat seperti rumah banglo yang besar tanpa tingkap. Barangkali, tingkapnya sengaja ditutup dan disimenkan atas sebab tertentu. Pun begitu, apa yang pasti keadaan rumah yang aku nampak dari dalam bas sungguh berbeza dengan apa yang aku lihat pada malam itu.

Mungkinkah 'penghuni' rumah itu menunggu kehadiran aku sekali lagi?

Pada suatu malam, aku mahu pulang ke kampus. Jam menunjukkan lebih kurang 10 malam. Tiba-tiba hujan turun di tempat yang sama aku berhenti dahulu, cuma bezanya aku berada di laluan bertentangan dan tak jauh dari rumah itu. Aku tak rasakan apa-apa pada malam itu. Mungkin kerana aku terlalu risaukan assignment aku yang berlambak-lambak menanti aku di kampus.

Tibanya aku di kampus, aku kembali memikirkan hal rumah tersebut. Barulah aku ingat, aku berhenti di kawasan rumah tersebut. Kisah yang aku dengar, tingkap rumah itu sengaja disimenkan agar tak ada apa 'benda' yang dapat dilihat melalui tingkap rumah itu. Bagi aku, itu hanyalah kisah yang dibawa oleh orang dari mulut ke mulut. Sudah bekali-kali aku lalu di kawasan itu, tak ada apa yang pelik berlaku melainkan hujan yang turun tiba-tiba sahaja.

Kisah ini tak terhenti di sini sahaja. Pada satu malam, kawan aku sedang memandu pulang ke kampus. Di kawasan itulah tiba-tiba cermin hadapan keretanya retak secara tiba-tiba. Kalau disangkakan ada batu yang jatuh ke cermin keretanya, masakan pula ada lori yang membawa batu di hadapannya. Tak ada apa-apa kenderaan pun yang ada di hadapan keretanya. Nak kata ada budak membaling batu ke tengah jalan, masakan pula ada budak atau manusia di situ kerana kelilingnya hanyalah semak samun dan hutan tebal sahaja.

Satu lagi kejadian yang berlaku kepada dua kawan aku. Mereka memandu pulang ke kampus secara konvoi. Aku namakan mereka Ali dan Abu. Si Ali memandu di hadapan manakala Abu pula berada di belakang. Seketika, Abu menoleh ke tempat lain dan kemudian menoleh ke hadapan semula. Tiba-tiba dia ternampak ada sesuatu yang berwarna putih terbang di atas kereta Ali. Abu mahu sahaja mengejutkan teman wanita yang sedang tidur di sebelah, tetapi setelah dia menoleh kembali ke hadapan, objek putih itu hilang dengan serta merta.

Kejadian yang terbaru pula berlaku kepada seorang lagi kawan aku yang bernama Sudin. Keretanya tiba-tiba mati di tempat yang sama aku berhenti pada kedua-dua malam itu. Memanglah minyak keretanya tinggal sedikit, tetapi sepatutnya masih boleh lagi bergerak dalam 5 kilometer lagi. Namun, pada malam itu, keretanya mati di tempat tersebut. Mahu tak mahu terpaksalah si Abu pergi membantu Sudin di kawasan itu.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Apakah misteri yang ada di tempat itu? Kejadian yang berlaku kepadaku tidak mungkinlah memberi kesan besar kepadaku. Namun, kawan-kawan aku juga terlibat sekali dalam 'permainan' ini. Apakah aku yang menjadi punca berlakunya kejadian misteri ini? Apakah yang ia mahukan dari aku?

Waktu aku menulis kisah ini adalah pada pukul 4 pagi. Semasa aku menulis kisah ini, aku dapat rasakan sesuatu yang menemaniku, tetapi aku tak tahu siapa. Semua teman serumah aku sudah lena dibuai mimpi. Aku pula masih belum boleh melelapkan mata. Semasa awal aku menulis, aku terdengar sesuatu yang berbunyi seperti ketukan bunyi gong sebanyak tiga kali. Aku sangkakan orang di luar rumah yang mengetuk gong kerana baru habis latihan dikir barat, tetapi mana ada latihan dikir barat malam ni? Semua ahli rumah aku pula semuanya sudah tidur. Masakan ada yang mampu mengetuk gong dalam tidur dan sudah memang tiada satu pun gong di dalam rumah ini.

Bunyi langkah biasa sahaja bermain di luar pintu bilikku. Mungkin rakan serumah aku, mungkin juga tidak. Walaupun tiada bisikan atau gangguan, namun aku dapat rasakan seperti ada sesuatu yang bersamaku.

Apakah 'penghuni' rumah tinggal itu masih menunggu kehadiranku di situ? Jika ya, apakah yang ia mahukan? Jika tidak, mengapa aku yang 'dipilihnya' untuk melihat keindahan rumah tinggal itu? Aku perlu mencari jawapannya. Aku perlu mencari penyelesaiannya. Aku tak mahu hidupku diganggu lagi sebegini seperti apa yang pernah aku alami di Sarawak dahulu.

"Tok... Nek... jangan ganggu Cu lagi. Biarkan Cu sendiri."

Aku menoleh ke belakang aku, aku ternampak... sesuatu yang memanggilku! Aaaaaarrrrrgggghhhh!!!! Tiiidaaaaaaaaaaaaaaaaaaakkkk!!!!

Post a Comment

0 Comments