1Plot: Selamat tinggal.

Selepas lima tahun mengembara di tanah air orang, aku kembali semula. Cukup sudah aku rasakan aku berkelana di tempat orang membawa diri keseorangan... bersama seorang yang telah lama aku simpan dalam hati.

Menjejaknya kaki aku di tanah pertiwi ini, hanya ada satu sahaja yang terlintas di hatiku - bertemu dengannya untuk akhir kalinya. Dengan segera, aku menunggang motosikal berkuasa tinggiku ke sebuah tempat untuk bertemu dengannya untuk kali terakhirnya.

Aku sampai, dengan hanya berbekalkan diriku sahaja. Aku turun dari motosikalku.

"Indah lagi tempat ini. Pasti nyaman jika aku boleh bermandi-manda di tempat ini," terlintas pemikiranku sejenak. Namun, aku tiada banyak masa. Aku lalu terus menjejak jejambat kecil melintasi anak sungai buatan manusia itu, ke satu lokasi yang aku kenalkan kepadanya dahulu. Aku mendaki batuan besar dan kecil. Aku menjejak satu demi satu anak tangga hingga tiba di titian gantung usang di atas air terjun Lata Kinjang.

Aku melangkah hingga separuh perjalanan titian gantung itu, lalu aku berhenti. Aku menyandarkan diri di pemegang titian itu dan mendongak ke atas.

"Kalau ada masa, nak juga aku mendaki sampai puncak, melihat punca mata air terjun ini," bermonolog aku sendirian.

"Pemandangan di bawah ini, masih lagi cantik. Tak ubah seperti dulu," berkata aku lagi sambil menoleh ke tingkat bawah air terjun.

Aku mengamati tempat ini. Rasa aman. Rasa tenang. Dengan bunyian cengkerik menyanyi dari pinggiran hutan, dan deruan air terjun yang mendamaikan.


"Pasti awak ingat lagi tempat ini. Saya tunjukkan kepada awak. Inilah tempat saya ketika kecil bermandi manda bersama-sama keluarga dan kawan-kawan."

"Sudah lama saya nak tunjukkan tempat indah ini kepada awak. Akhirnya dapat juga, walaupun tak lama," berkata-kata aku keseorangan.

"Saya dah kembali. Lima tahun saya meninggalkan tanah air ini untuk membawa diri mencari pengertian dari apa yang telah berlaku dahulu."

"Saya masih lagi ingat akan peristiwa dulu, tapi saya tak mahu ingat lagi. Ia sungguh perit untuk saya ingat."

"Awak masih ingat lagi kan, kita dahulu adalah pasangan bahagia. Walaupun awak ni banyak kerenah, saya pula keras kepala; namun kita sentiasa baik. Kalau nak bergaduh tu, saya buat tak endah sahaja," aku terus berkata-kata, sambil melihat permandangan air terjun Lata Kinjang.

"Saya masih ingat lagi, ketika awak marah kerana saya jarang menghubungi awak. Saya telah buat awak menangis ketika itu. Maaflah, saya memang begitu. Kalau saya sibuk, saya tak boleh hilang tumpuan. Saya tak boleh ada gangguan lain. Jika tidak, saya tak boleh selesaikan tugasan saya."

"Tapi, awak pun tahu kan. Walaupun saya bukan jenis yang bisa menjadi orang pertama yang menghubungi sesama kita, selepas kejadian itu hampir tiap-tiap malam saya hantar perkhabaran kepada awak, kan? Pasti awak gembira, kerana permintaan awak supaya saya menjadi orang pertama yang menghantar perkhabaran setiap hari."

"Walaupun saya cuba mengubah sedaya mungkin tabiat dan kebiasaan saya untuk serasikan dengan permintaan awak, namun. Semakin lama, SMS saya tidak berbalas. Saya faham awak sibuk. Saya diamkan sahaja."

"Tiap malam, saya mengira detik awak sampai di rumah, pulang dari tempat kerja awak untuk saya menemani awak sebelum tidur, untuk mengurangkan penat awak bekerja seharian. Sayangnya, balasan yang saya terima adalah awak berkata awak sudah mengantuk. Penat. Mahu tidur."

"Tak apalah, saya faham awak."

"Begitu juga keesokan malamnya. Juga keesokan malamnya. Keesokannya juga. Sehingga berlarutan tiap malam. Saya cuba untuk tidak berputus asa, namun gagal. Biarlah awak yang SMS dahulu, mungkin lebih elok sebab awak tahu bila waktu awak lapang. Saya pun takkan mengganggu awak."

"Sehari, dua hari, tiga hari dan berhari-hari aku menunggu. Telefon bimbitku yang dahulunya tidak pernah diam menyanyi kerana awak sentiasa cuba untuk menghubungi aku setiap hari sudah sunyi. SMS iklan dari syarikat telekomunikasi yang aku terima aku sangkkan SMS dari awak."

"Saya cuba menghubungi awak kembali. Hasilnya tiada balasan. Kalau ada pun, awak memberi alasan yang menyebabkan saya terpaksa mengalah. Akhirnya saya putus asa."

"Sampailah satu malam, awak menghantar satu perkhabaran yang panjang. Melihat nama awak dari telefon bimbit membuat saya gembira. Namun, isinya... buat saya kecewa. Awak minta untuk awak dilepaskan."

"Saya cuba mencari penyelesaian. Tiga malam saya mencuba. Namun hati awak sudah berubah. Bukan untuk saya lagi. Saya tidak boleh berbuat apa apa. Hari terakhir pada tahun itu, tarikh awak tinggalkan saya."

Aku menunduk. Cuba menahan kesedihan. Dengan bertemankan deruan air terjun, aku berkata lagi, "Saya tahu awak tiada di sini. Barangkali saya tidak akan berjumpa awak lagi. Sengaja saya datang di tempat ini. Untuk melepaskan awak selama-lamanya."

"Saya hormati permintaan awak."

"Saya tahu awak tidak akan dengar apa yang saya katakan dari tadi. Awak tiada di sini. Awak sudah pasti berada dalam hati seseorang yang lain," aku terus bekata-kata sambil mengeluarkan sesuatu dari poket.

"Awak ingat lagi hadiah ini? Awak berikan kepada saya. Walaupun tidaklah mahal, tetapi berharga kepada saya. Lama sudah saya menyimpannya, untuk saya sentiasa mengingati awak. Saya menggunakan hadiah awak ini, sampaikan orang lain pelik kerana aku bukannya jenis orang yang suka menggunakan asesori seperti ini tanpa apa-apa tujuan. Untuk awak, saya gunakannya juga."

"Namun, pada hari ini. Hadiah ini saya takkan gunakan lagi. Biarlah kosong, tidak menarik lagi."

"Saya, akan lontarkan hadiah ini sejauh-jauhnya ke dalam air terjun ini untuk lepaskan awak dari dalam hati saya buat selama-lamanya. Selamat tinggal, sayang," aku menggenggam hadiah itu lalu melontarnya sekuat hati aku. Hadiah itu kemudian hilang dari pandangan, tenggelam dalam hiruk pikuk aliran air terjun.

"Terima kasih... terima kasih kerana pernah menyayangi saya. Terima kasih kerana pernah menerima saya. Terima kasih kerana pernah menggembirakan saya. Maafkan saya, atas segala kesalahan saya kepada awak. Maafkan...," aku mengakhirkan kata-kata aku sebelum berjalan meninggalkan titian gantung itu.

Hatiku rasa senang. Dapat melepaskannya untuk selamanya. Walaupun cuba untuk aku tahan, tetapi air mata tetap mengalir mendingin di pipi aku.

Aku berjalan menuruni batuan dan anak tangga yang aku daki tadi, menuju ke motosikal aku. Dengan perlahan, aku mengukir sedikit senyuman gembira bercampur sedih setelah melepaskannya. Aku memakai topi keledar, menghidupkan enjin motosikal dan terus berlalu meninggalkan air terjun Lata Kinjang, bersama-sama cinta aku yang tenggelam di dasarnya bersendirian.

Post a Comment

1 Comments

  1. ALLAH tidak pernah mencabut sesuatu dari anda kecuali DIA menggantikannya dengan yang lebih baik. Tetapi, itu apabila anda bersabar dan tetap redha dengan segala ketetapanNYA...:)

    ReplyDelete

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)