1Plot: Kupulangkan Hatimu.

Pada satu malam jam 1.00 pagi, Razman sedang mengemas barang-barang di biliknya untuk membuat persiapan terakhir sebelum berpindah ke rumah baharunya di Hamburg, Jerman untuk urusan kerja selama 2 tahun.

Tiba-tiba, Razman terjumpa satu bungkusan yang sudah lama tak dilihatnya. Dia membelek-belek bungkusan itu. Agak berhabuk bungkusan itu, memandangkan sudah lama dibiarkan tanpa pernah dipedulikan sejak tahun lepas. Perlahan-lahan Razman membuka bungkusan itu.

"Dah lama tak nampak bekas ni. Masih ada lagi rupanya. Ingatkan dah aku buang," Razman bermonolog.

Setelah bekas itu dibuka, Razman terpaku seketika. Diamatinya isi kandungan bungkusan itu... dengan hati yang bercampur-campur. Isi kandungan bungkusan itu menyebabkan dia teringatkan seseorang yang pernah dia kenali sebelum ini.

"Ini... ini...," Razman bermonolog lagi sambil mengangkat satu helaian kertas dan sebuah bingkai gambar. Dia membersihkan bingkai itu daripada habuk yang menyelubungi, lalu melihat gambar di dalamnya.

"Dimana awak berada sekarang?" Razman bertanya kepada orang di dalam gambar itu.

"Sudah setahun kita tak berjumpa. Tak ada khabar berita. Apa khabar awak di sana?" sambung Razman lagi.

Gambar yang ada di dalam bingkai gambar itu adalah Aida, bekas tunangnya. Mereka berpisah kerana masing-masing mempunyai komitmen tugas sehinggakan mereka tidak dapat meneruskan lagi hubungan mereka.

Hubungan mereka sentiasa baik, tetapi sejak masing-masing mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing, mereka semakin jarang berhubung. Sehinggakan berminggu-minggu tidak bertukar khabar berita. Sehinggalah pada suatu hari, Aida meminta Razman untuk menamatkan hubungan mereka.

"Awak sihat? Macam mana dengan kerja? Keluarga sihat? Saya harap awak sihat sentiasa," Razman berkata-kata kepada gambar tersebut.

"Saya sihat sahaja. Saya selalu risaukan awak berseorang di sana. Awak kan selalu cepat risau. Cepat gelabah. Saya takut awak cepat tertekan. Kalau dulu, sayalah orang yang awak cari untuk lepaskan tekanan. Awak bercerita sahaja tanpa henti. Kalau awak gembira pun, saya juga awak cari. Sama sahaja macam sedang tertekan, bercerita tanpa henti."

"Walaupun saya agak penat melayan awak, tapi saya tak kisah. Asalkan awak gembira bila dapat lepaskan tekanan selepas berjumpa dengan saya."

"Sekarang, saya tak boleh tolong awak lagi. Kita dah berjauhan. Saya harap, awak dapat berjumpa seseorang yang boleh membantu awak di kala susah dan senang."

Razman tersenyum, mengenang kisah gembira mereka berdua yang lepas. Sambil meletakkan bingkai gambar itu di sisinya, sambil mengambil sekeping kad hari lahir yang diterimanya dari Aida dua tahun lepas.

Razman membacanya dengan tenang lalu berkata, "Inilah sambutan hari lahir saya yang terakhir bersama awak. Sayangnya, kita tak sempat sambut hari lahir awak bersama. Saya dah sediakan hadiah untuk awak. Namun, sayang... tak sempat tiba masanya, kita dah berpisah."

Razman meletakkan kad di sisinya, mengangkat sebuah bekas kecil lalu membukanya. Dia melihat seutas jam tangan di dalamnya. Jarum saatnya sudah berhenti berputar.

"Hurm... inilah jam tangan untuk Aida. Tak sempat aku nak hadiahkan kepadanya," kata Razman lagi berseorangan.

"Sepatutnya, semua ini dah saya buang. Saya simpan dengan harapan awak akan kembali kepada saya suatu masa nanti. Sayangnya, awak tak pernah kembali. Saya tak sanggup lepaskan awak dari hati saya. Itulah sebabnya mengapa saya simpan barang-barang ini."

Tanpa sedar, air mata mula mengalir di pipi kanan Razman.

"Esok aku dah nak berangkat. Mana aku nak letak barang-barang ni?" Razman menanya diri sendiri memikirkan apa yang perlu dilakukan dengan barang-barang itu.

Sejenak kemudian, Razman mendail seorang rakan lamanya, Hanim.

"Hanim, kau tau Aida kat mana kan?"

"Esok, aku bagi kau satu barang, tolong serahkan barang ni kepada Aida, boleh?"

"OK. Terima kasih, Hanim."

Razman meletakkan telefon lalu menyimpan semula barang-barang yang berkaitan dengan Aida lalu dibungkusnya dengan rapi.

-----***-----

Pada keesokan harinya di lapangan terbang, sedang Razman menunggu untuk masuk ke ruang menunggu, Hanim tiba.

"Hanim, nanti kau tolong serahkan barang ini kepada Aida, ya. Maaflah menyusahkan kau," kata Razman kepada Hanim.

"Tak mengapalah. Lagipun kita kawan. Benda kecil macam ni... tak ada masalahlah bagi aku... tapi... apa bendanya ni?" balas Hanim dengan soalan.

"Barang yang dari dulu aku nak pulangkan kepada Aida."

"Boleh aku tengok tak apa isi kandungan barang ni?" tanya Aida dengan nada berseloroh.

"Eh, jangan! Barang ni kau jaga elok-elok, sampai kau serahkan barang ni kepada Aida, OK?"

"Baik, tuan!" balas Hanim dengan nada berseloroh.

"Ha! Sebelum aku terlupa, surat ni sekali... tolong serahkan kepada Aida," tambah Razman lagi.

"Ada lagi? OK. Tak ada masalah. Surat ni, boleh aku baca tak?" seloroh Aida lagi.

"Haha... kau ni. Ada saja. Yelah. Kalau nak baca, bacalah, tapi bukan depan aku. Aku dah terbang nanti, baru boleh. OK?"

"OK. Tak ada masalah."

"Baiklah, aku dah nak kena masuk ke ruang menunggu ni. Aku pergi dulu. Sampaikan salam aku kepada semua. Sampaikan salam aku kepada Aida," Razman berkata-kata sebelum bergerak masuk ke ruang menunggu.

"Baiklah, kau tu... jaga diri. Jangan asyik murung saja. Harap kau gembira bila sampai ke dunia orang nanti," balas Hanim.

"Baiklah. Janganlah kau risau. Aku akan sentiasa baik di sana nanti. Aku pergi dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Razman melangkah masuk ke ruang menunggu. Setelah Razman hilang dari pandangan Hanim, surat yang diserahkan oleh Razman dibaca Hanim.

Assalamualaikum, Aida.

Apa khabar di sana? Saya harap awak sentiasa sihat di sana. Saya sihat selalu. Selepas setahun, saya terjumpa semula barang-barang yang awak beri kepada saya. Saya rasa sayang untuk membuang barang-barang ini. Jadi, saya serahkan barang-barang ini kepada awak.

Jangan awak terkejut menerima barang ini. Saya pulangkan kepada awak, sebagai tanda yang saya 'pulangkan' hati awak yang saya simpan selama ini. Saya lepaskan awak sepenuhnya dari hati saya. Selama ini, saya hanya menyimpannya kerana saya tak mampu melupakan awak. Tak mampu melepaskan awak. Cuma hari ini, saya dengan berat hati melepaskan awak sepenuhnya. Saya masih sayangkan awak, tapi saya faham. Awak pasti sudah bahagia bersama orang yang awak sayang di sana.

Terimalah 'hati' awak ini semula. Semoga awak kekal bahagia, sihat sejahtera dan berjaya dalam hidup. Semoga kita dapat berjumpa lagi.

Yang masih menayangimu,

Razman.

Post a Comment

0 Comments