9 Januari semakin hampir dan banyak orang berkira-kira untuk menyertai perhimpunan tersebut yang ingin menyuarakan sokongan agar Anwar Ibrahim dibebaskan. Walaupun begitu, pastinya banyak juga yang menolak dan tidak bersetuju dengan perhimpunan ini.
Tidak bersetuju - ini adalah pendirian aku terhadap perhimpunan ini, yang aku rasakan perhimpunan ini tidak wajar diadakan. Ini adalah berdasarkan beberapa aspek:
- Sebagai rakyat Malaysia yang mempercayai Sistem Kehakiman Negara, perbicaraan Anwar Ibrahim ini adalah sesuatu yang wajar setelah pendakwaannya dibacakan di mahkamah sejak tiga tahun yang lalu.
- Anwar Ibrahim selaku defendan, juga tidak perlu takut dengan perbicaraan ini jika dia benar-benar tidak bersalah. Malah, dia juga diwakili oleh peguam-peguam yang sangat berkaliber untuk mempertahankan Anwar.
- Aku selaku mahasiswa, tidak menyokong perhimpunan ini kerana perhimpunan ini lebih kepada sentimen kepartian oleh penyokong-penyokong perhimpunan ini. Pastinya banyak peserta perhimpunan ini datang atas dasar Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PKR, bukannya sebagai individu yang diberi perbicaraan tanpa pertuduhan.
- Mohd Saiful Bukhari Azlan juga berhak untuk menuntut keadilan terhadapnya, berdasarkan pertuduhan yang telah dia umumkan terhadap Anwar Ibrahim. Penyertaan perhimpunan ini dengan jelas tidak membenarkan Saiful Bukhari menuntut hak keadilan terhadap dirinya sendiri; dan ini adalah tidak adil dari segi moraliti dan undang-undang.
- Parti-parti politik, mahasiswa dan pertubuhan-pertubuhan tidak seharusnya menunjukkan bantahan terhadap perbicaraan ini kerana perbicaraan ini dijalankan atas arahan mahkamah; dan pertuduhan oleh plaintif adalah atas dasar peribadi, bukan atas dasar perbezaan sokongan parti politik oleh kedua-dua pihak.
- Untuk membuktikan Anwar Ibrahim bersih dan layak untuk menjadi Perdana Menteri, dia wajar dibicarakan dengan seadil-adilnya oleh Sistem Kehakiman, bukan sentimen kepartian semata-mata.
- Perhimpunan yang menentang Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 juga pastinya adalah disebabkan oleh sentimen kepartian, kerana 'permusuhan' mereka dengan Anwar Ibrahim.
- Perhimpunan mereka juga akan sia-sia sama seperti Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 kerana segala keputusan mahkamah adalah diputuskan oleh hakim-hakim perbicaraan melalui Sistem Kehakiman Negara, bukannya dengan jumlah peserta perhimpunan teramai.
- Jika mereka melakukan juga perhimpunan ini, mereka juga tidak menunjukkan kepercayaan penuh mereka terhadap Sistem Kehakiman Negara.
Jadi, siapakah yang sebenarnya layak untuk 'berhimpun' untuk menyokong Anwar Ibrahim mahupun Saiful Bukhari? Jawapannya adalah ahli keluarga, sahabat dan kenalan terdekat masing-masing, yang benar-benar yakin kedua-dua plaintif dan defendan berada di pihak yang benar.
Menurut bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.
“Saya menasihatkan kepada masyarakat terutamanya orang muda janganlah hadir pada perhimpunan tersebut, saya tidak reda melihat anak-anak bangsa melibatkan diri dengan perkara peribadi orang lain dan yang membuang masa.
“Saya bimbang jika kita teruskan sikap demonstrasi ini, negara kita akan terdorong ke arah araki seperti negara tidak berundang,” kata beliau merujuk kepada perhimpunan yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusannya berkenaan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tambahan sekarang ini sedang peperiksaan akhir, anak muda dinasihatkan belajar bersungguh-sungguh dan takluk universiti utama dunia daripada menyertai benda yang dah lama atau ‘mual’ ini," katanya lagi.
*****
Semalam, 7 Januari 2012; satu memorandum Mahasiswa Aman Menolak Himpunan 901 telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di UiTM Selangor. Memorandum ini merupakan suara sebahagian mahasiswa dari seluruh IPTA yang menentang Perhimpunan Bebaskan Anwar 901.
Beberapa kandungan memorandum ini termasuklah menentang penyertaan mahasiswa dalam Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 serta sokongan mempertahankan AUKU 1971 Pindaan 2009.
Namun begitu, apa yang berlaku dalam beberapa kelompok mahasiswa di beberapa IPTA adalah tidak menyokong penyerahan memorandum ini. Terdapat juga beberapa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang tidak menyokong penyerahan memorandum ini, dan menyatakan penyerahan memorandum ini bukanlah mewakili mahasiswa di bawah pimpinan mereka.
Malangnya, apa yang berlaku sebenarnya adalah mereka sendiri (MPP) tidak menyatakan pendirian mereka dari awal, tentang penglibatan mahasiswa dalam Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 ini. Apabila memorandum ini sudah diserah, mereka pula melatah dan menyalahkan pihak-pihak lain yang menentang perhimpunan ini. Sebagai MPP, mereka sewajarnya menyatakan pendirian atas kepentingan dan kewajaran mahasiswa, bukan dikuasai oleh ideologi mana-mana partisan di luar kampus.
Sewajarnya, mahasiswa dan MPP wajar mempertimbangkan kewajaran mahasiswa menyertai perhimpunan ini, yang dijalankan pada waktu peperiksaan akhir di semua kampus IPTA di seluruh negara. Janganlah semata-mata mahu mahu menyokong Anwar Ibrahim, mereka sanggup meninggalkan peperiksaan akhir mereka. Ada juga MPP yang baru menyuarakan ketidak puasan hati mereka setelah beberapa wakil dari universiti mereka menyertai penyerahan memorandum ini, namun malangnya kenyataan mereka ini dikeluarkan setelah menerima tekanan dari kumpulan-kumpulan mahasiswa yang jelas ideologi partisan mereka.
MPP telah diberi mandat menjadi pemimpin, sewajarnya membuat keputusan dan tindakan sewajar dan sepantas mungkin atas dasar kepentingan mahasiswa, bukan atas tekanan oleh pihak-pihak yang menekan MPP. MPP juga seharusnya bersifat neutral, membuat keputusan berdasarkan nilai kepentingan mahasiswa tanpa dipengaruhi mana-mana partisan di luar kampus. Pendirian MPP yang dipengaruhi oleh ideologi dan tekanan mana-mana partisan luar kampus menunjukkan MPP tersebut tidak mempunyai kredibiliti sebagai MPP, malah undi yang diberikan juga adalah sia-sia.
*****
Kepada mereka yang masih ingin menyertai Perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 ini, berikut adalah garis panduan yang dikeluarkan pihak Polis DiRaja Malaysia berhubung kebenaran berhimpun kepada para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, 9 Januari 2001.
Bahawasanya Ketua Polis Daerah Sentul setelah menimbangkan faktor-faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengenakan syarat-syarat berikut kepada pihak penganjur serta peserta Perhimpunan 901 yang akan berlangsung pada 9 Januari 2012 di parkir awam Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, sebagaimana berikut :
- Penggunaan risalah / banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI semasa perhimpunan berlangsung.
- Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ TIDAK DIBENARKAN. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.
- Pengucapan awam TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI.
- Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding Mahkamah.
- Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke Mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.
- Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta-peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir Mahkamah.
- Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.
- Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.
- Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.
- Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.
Harap-harap sesiapa yang masih menyertai perhimpunan ini dapat mematuhi garis panduan yang ini dan tidak mengakibatkan kerugian, walau apa pun keputusan perbicaraan nanti.


0 comments:
Post a Comment
P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.