1Plot: Panggilan Gelap

"Remy, cepat sikit! Nanti kita lambat!" jerit aku kepada Remy yang masih mengemas barang-barang yang hendak dibawanya ke Kuala Lumpur.

"Iyalah. Sekejap!" balas Remy. Remy perlu pulang ke Kuala Lumpur kerana ibunya kemalangan semasa memandu keseorangan di Jalan Sungai Besi. Remy sebagai anak sulung, terpaksa pulang untuk mengurus hal-hal urusan rumah, di kala ayahnya pula mengurus hal-hal rawatan ibunya.

"Haa... maaf... maaf. Ok, kita boleh gerak sekarang!" Remy tuntas bersuara setelah melabuhkan punggung di tempat duduk penumpang sebelah pemandu.

"Syam, aku minta maaf sangat-sangat pada kau. Kau terpaksa hantar aku ke terminal senja-senja begini... dalam keadaan kelam kabut pula tu. Aku minta maaf sangat pada kau," berkata Remy lagi.

"Ah, tak kisahlah. Bukan salah kau mak kau kemalangan. Aku akan cuba juga tolong kau sedaya yang mungkin. Harap-harap mak kau selamat," balas aku tanpa menghiraukan kerja yang bertimbun aku tinggalkan di kolej. Semua kerja itu perlu aku hantar pada esok hari, tapi tak mengapalah, aku boleh berjaga malam untuk menyiapkan kerja-kerja itu. Bukanlah aku tak biasa berjaga malam untuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun-timbun.

Aku memandu dengan pantas ke Terminal Makmur Kuantan. Setibanya di sana, jam masih menunjukkan jam 8.12 malam.

"Remy, kita solat dulu. Aku yakin, pasti masih ada tiket lagi untuk ke KL," aku mengajak Remy untuk bersolat Maghrib. Disebabkan kami bertolak beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib, Remy menjamakkan solat Maghribnya dengan solat Isyak, sedangkan aku hanya mendirikan solat Maghrib sahaja. Selesai sahaja bersolat, aku dan Remy mula mencari tiket bas ke Kuala Lumpur.

"Cuba try cari kat Trans. Biasanya ada," kata aku kepada Remy.

"Jom," balas Remy lalu melangkah ke kaunter tiket bas Transnasional. Bas Transnasional biasanya menjadi pilihan pertama kerana konsesi bas ini selalu ada menyediakan banyak bas untuk ke Kuala Lumpur.

"Puan, saya nak tiket ke Kuala Lumpur malam ni juga; ada tak?" tanya Remy kepada penjaga kaunter.

"Maaf, dik. Tiket ke KL malam ni semua dah habis. Tiba-tiba pula banyak orang nak ke KL malam ni," balas penjaga tiket itu. Aku dan Remy tidak berputus asa. Kami berpindah ke kaunter tiket Cepat Ekspress pula. Malangnya, tiket ke Kuala Lumpur pada malam itu semuanya sudah habis. Begitu juga Utama Ekspress, Plusliner, dan Bas Kesatuan. Semuanya sudah habis.

"Macam mana tiket ke KL boleh habis pula malam ni. Hari ni hari Khamis lagi. Belum betul-betul hujung minggu lagi," keluh Remy. Remy sangat terdesak untuk mendapatkan tiket ke KL pada malam itu juga supaya dapat bertemu dengan keluarganya, tambah-tambah lagi ibunya.

"Sabar, Remy. Ini ujian. Sabar," aku cuba menenangkan Remy yang kerisauan dan hampir kehilangan kesabarannya. Aku juga pada ketika itu mula tertekan memikirkan cara untuk mendapatkan tiket ke Kuala Lumpur. Lalu aku melangkah kembali ke kaunter tiket Transnasional.

"Puan, kawan saya ni dalam keadaan kecemasan. Petang tadi mak dia baru lepas kemalangan. Dia perlu pulang segera. Kami dah cari tiket ke KL dekat bas-bas lain. Semuanya penuh. Apa boleh saya buat supaya dia dapat pulang ke KL?" aku cuba merayu kepada penjaga tiket bas Transnasional itu. Dia dilihat agak serba salah. Dirinya mahu menolong, tetapi tak ada tempat duduk lagi untuk diisi. Tiba-tiba dia memberikan satu cadangan kepada aku.

"Beginilah dik. Dalam senarai yang ada, semua dah penuh. Adik tunggu kat tempat bas di bawah, tanya pemandu kalau ada tempat duduk yang tak diisi. Adik kena tanya bila bas dah nak mula bertolak sahaja. Kadang-kadang ada orang terlepas bas atau sengaja tak mahu naik. Adik cubalah, ya. Ni je makcik boleh tolong," cadang penjaga tiket itu.

"Baiklah. Terima kasih, puan," aku berlalu dari kaunter lalu menceritakan cadangan penjaga tiket itu kepada Remy. Kami berdua turun ke tingkat bawah terminal untuk menunggu waktu bas bertolak. Bas jam 9 malam semuanya penuh diisi. Begitu juga bas untuk jam 9.15 malam, 9.30 malam, 9.45 malam dan seterusnya.

"Dah nak dekat pukul 11 dah ni. Semua bas penuh. Bas pukul 11 ni mungkin yang terakhir untuk ke KL," Remy bersuara seperti mahu berputus asa. Aku juga hampir begitu. Namun, aku tetap berfikiran positif menyatakan pasti ada nasib baik menyebelahi Remy. Naluri aku juga berkata demikian. Bas terakhir ini pasti akan ada satu tempat kosong untuk Remy.

Sangkaan aku tidak meleset sama sekali. Akhirnya, setelah berjam-jam mencuba, Remy berjaya menaiki bas ke Kuala Lumpur pada jam 11 malam. Aku kelegaan dapat menolong Remy. Remy menaiki bas dan mendapatkan tempat duduknya di barisan 8B, tempat duduk berdua di bahagian tengah. Agak ke belakang tempat duduknya. Tak mengapalah, asalkan dia boleh sampai ke Kuala Lumpur.

Aku menunggu sehingga bas bertolak. Aku melambai-lambaikan tangan aku ke arah Remy. Remy juga membalas lambaian aku. Namun, ada satu kejadian pelik pada waktu itu. Gadis cantik di sebelah Remy dilihat sedang menangis dan menoleh kepadaku. Dia seperti cuba untuk menyampaikan sesuatu kepadaku sambil menggelengkan kepala, mulut cuba mengatakan sesuatu dan tangan dilekapkan di tingkap bas. Aku menoleh ke kiri dan kanan, tak ada siapa lagi selain aku. Kepada siapa gadis itu pandang? Aku terpaku seketika. Gadis cantik itu seperti mengenali aku, sedangkan aku tak pernah bertemu dengannya. Apa yang mahu disampaikan oleh gadis itu?

"Ah, abaikan saja. Jam dah dekat pukul 11.20 malam. Aku kena pulang ke kolej juga. Banyak lagi kerja aku kena buat," bermonolog aku seorang. Aku melangkah pantas ke kereta Proton Saga biru yang aku tinggalkan sejak aku sampai di Terminal Makmur lagi. Mujurlah aku sempat menunaikan solat Isyak sementara menunggu bas-bas sebelum ini bertolak. Maka, kuranglah terbeban kepala aku memikirkan tugas-tugasan aku di Kolej.

Enjin Proton Saga biru itu aku hidupkan. Setelah bersedia, aku memulakan perjalanan pulang ke Kolej aku berseorangan. Oleh sebab tidak mahu membuang masa, aku memandu laju untuk pulang ke Kolej. Pada masa yang sama, kepalaku masih tidak dapat melupakan kejadian di Terminal Makmur sebentar tadi.

Deruan enjin pada malam hari sangat membingitkan telinga aku. Namun, aku tak kisahkan masalah itu kerana aku harus pulang cepat ke Kolej. Aku memandu laju dengan kelajuan sehingga 100 kilometer sejam. Setibanya di kawasan air leleh, tiba-tiba enjin kereta aku mati. Aku cuba untuk menekan brek, tetapi tidak berfungsi. Kereta aku masih lagi meluncur laju di atas jalan yang gelap tanpa ada sebarang lampu di situ. Untuk tiga saat yang genting itu, aku cuba pelbagai cara untuk menghentikan kereta yang aku pandu itu.

Malangnya, nasib tidak menyebelahi aku. Dunia ibarat sangat sunyi bagi aku. Semuanya bergerak perlahan dengan setiap perinci kejadian dapat aku perhatikan di sekeliling aku. Kereta aku tidak dapat dikawal lagi dan pasti akan merempuh sebatang pokok rhu yang berada di tepi jalan. Seperti dalam filem, kejadian itu berlaku ibarat sangat perlahan. Kira-kira 30 meter sebelum aku merempuhi pokok tersebut, ada satu lembaga putih berbungkus dari kepala hingga ke kaki berdiri berhampiran sisi kanan kereta aku. Mukanya jelas dengan mata yang gelap, mukanya putih seperti disapu bedak. Mulutnya diikat dengan kain di kepala. Hidungnya pula disumbat dengan kapas. Lembaga itu memandang tepat ke mata aku di saat-saat kereta aku merempuh pokok rhu tersebut.


Jiwa aku menggelodak. Aku berasa seram seluruh badan. Lalu aku cuba untuk beristighfar sedaya termampu.

"As... Astagh! As... Astagh! Astagh!" aku cuba beristighfar, namun lidah aku menjadi kaku.

"Al... laaah... All... Alll..." sekali lagi aku tak mampu menyebut ucapan 'Allahu Akbar' ketika saat-saat rempuhan itu sambil mata aku direnungi tajam lembaga itu. Dua saat selepas itu, segalanya kelam dan sunyi. Aku tidak sedarkan diri.

*****

"Allahu Akbar..." aku melepaskan suara dalam keadaan lemah. Aku kembali menyedarkan diri. Aku tak pasti berapa lama aku tak menyedarkan diri. Pada ketika itu, tak siapa pun yang tahu kemalangan itu. Dunia segalanya menjadi sunyi sepi. Dengan menggunakan lampu telefon bimbit aku, aku melihat jam di tangan. 1.49 pagi. Aku masih lagi dalam keadaan separuh sedar. Aku merasai tanganku basah akibat darah aku sendiri. Kepalaku merasai kesakitan yang amat sangat. Mujurlah beg udara dan tali pinggang menyelamatkan aku dari kecederaan yang lebih serius.

Aku cuba untuk mendail talian kecemasan menggunakan telefon bimbit aku. Sedang aku mahu menekan butang 999, tiba-tiba telefon bimbit aku terjatuh ke lantai. Aku membongkok dan cuba mengambil telefon bimbit itu. Selepas beberapa ketika meraba-raba lantai kereta, aku dapat mengambil telefon itu. Dengan perlahan aku kembali untuk duduk menyandar ke kerusi. Seusai aku mendongak, aku terkejut lalu tercampak telefon bimbit aku ke lantai kembali.

"Al... ll... All..." aku tergagap-gagap untuk mengucapkan kalimah 'Allahu Akbar.' Lidah aku ibarat terbeku dan tidak mampu mengucapkan apa-apa kalimah untuk aku melindungi diri. Aku hanya terpaku dan terketar-ketar sambil mulut tergagap-gagap mahu mengucap kalimah pujian kepada Allah dan istghfar kepadaNya.

Aku melihat lembaga putih yang merenung aku ketika kemalangan berlaku duduk di tempat duduk penumpang di sebelah aku. Dengan perlahan-lahan, lembaga itu menoleh ke muka aku. Mukanya sungguh hodoh. Mata gelapnya itu sungguh menyeramkan! Ibarat satu bayangan gelap tanpa cahaya pantulan anak mata. Perlahan-lahan juga lembaga itu merapati matanya ke mata aku.

Aku terpaku tak mampu bergerak kerana ketakutan. Masih lagi cuba untuk mengucapkan kalimah 'Allah' dalam keadaan genting itu, namun mulutku hanya mampu terdiam. Segala kesakitan akibat kecederaan telah aku lupakan pada ketika itu. Aku cuba untuk menutup mata dan beristighfar di dalam hati.

"Apa kau dah lakukan kepada dia?" aku terdengar suara garau membisik-bisik ke telingaku. Suara itu sangat dekat aku dengarkan. Betul-betul di telinga sebelah kiri. Aku terpaku lagi, tak mampu memberikan apa-apa jawapan.

"Ke mana kau bawa dia?" suara itu bertanya lagi. Dengan perlahan aku cuba membuka mata. Sedikit demi sedikit aku buka mataku. Tiba-tiba satu suara yang kuat menjerit kepadaku.

"Apa kau dah lakukan?!" suara itu meninggi, dan pada masa yang sama muka lembaga itu tiba-tiba berada seinci di hadapan muka aku.

"Akk... akk... akku... Apa akku... Apa k.. kau... maksudkan kepadaku?" aku bertanya kembali dalam keadaan tergagap-gagap. Aku masih terkaku tak mampu bergerak. Sekurang-kurangnya aku boleh kembali bersuara dan beristighfar dan berdoa kepada Allah S.W.T.

"Ke mana kau bawa anak aku? Ke mana?" lembaga itu bertanya lagi dalam keadaan bengis. Rupanya sangat menyeramkan. Matanya yang hitam legam itu terpancar satu sinar merah seperti warna darah. Kemarahannya tidak dapat aku gambarkan.

"Si... s... siap... si... siapa anak kau? Aku t... tak k... ke... kenal! Si... siapa kau?" aku membalas pertanyaan lembaga itu dengan soalan. Aku sudah berjaya sedikit demi sedikit mendapat keberanian dalam diri. Mengapa perlu aku takut dengan syaitan ini? Tujuannya hanya mahu merosakkan anak Adam di muka bumi ini!

"Ah! Celaka kau! Kau larikan anak aku, kau buat-buat tak kenal aku pula! Sial kau!" lembaga itu semakin marah. Suaranya semakin garau dan kuat, seperti tiupan trompet yang ditalakan terus ke telinga aku.

"Hoi, syaitan! Aku tak kenal kau! Aku tak kenal siapa anak kau! Kau fikir kau boleh takutkan aku begini? Kau syaitan laknatullah! Aku tak takutkan kau! Kau fikir kau boleh mengugut aku begini?" aku tiba-tiba mendapat kekuatan untuk membalas lembaga itu.

"Aku tak kisah! Kau fikir aku tak tahu setiap kali kau melalui jalan ini di tengah-tengah malam, kau sentiasa menjeling pokok ini untuk melihat kewujudan anak aku! Sampaikan anak aku bisa menunggu kamu tiap-tiap malam di pokok ini! Ke mana kau bawa anakku senja tadi? Ke mana?!" lembaga itu membalas herdikan aku dengan menceritakan serba sedikit apa yang berlaku.

"Aku tak tahu! Aku tak pernah nampak anak kau!" balas aku dengan tegas. Namun badan aku masih lemah akibat pendarahan. Badanku semakin tak berdaya.

"Kau fikir aku boleh diperbodohkan? Siapa yang kau nampak di dalam bas tadi, kalau itu bukan anak aku? Kau sudah mencabar kesabaran aku! Mahu sahaja aku mencelakakan kau di terminal itu tadi! Mujurlah wajah anak aku itu membatalkan niat aku! Kali ini anakku sudah tiada. Maka tiba masanya nyawa kau dijadikan pengganti anak aku!" lembaga itu cuba untuk menegakkan diri dan mahu menembusi aku. Mungkin itu cara terakhirnya sebelum nyawa aku dilayangkan.

Pada masa yang sama, mulut aku terkumat kamit membaca ayat Kursi sebanyak tiga kali. Kemudian, aku menghembus ke setiap sudut di keliling aku dan di tapak tangan kanan aku. Sewaktu lembaga itu mahu merapati aku untuk menembusi badan aku, tangan kananku aku hayun ke arahnya, sambil membaca baris terakhir ayat Kursi dengan lantangnya. Kemudian, semuanya menjadi gelap gelita. Tiada apa yang aku tahu kejadian selepas itu.

*****

Setelah aku sedar, aku mendapati aku berada di katil kamar aku. Aku tak cedera. Rakan sebilik aku masih di katilnya nenyak dibuai mimpi.

"Astaghfirullah al-'azim, mimpi rupanya!" aku beristighfar dengan banyaknya mengenangkan mimpi sebentar tadi.

"Mujurlah mimpi. Aku sangkakan kejadian sebenar yang menimpa aku. Alhamdulillah," keluh aku kelegaan. Aku bangkit dari katil dan terus ke tandas untuk mengambil wuduk sebelum menyambung tidur. Jam masih menunjukkan jam 2.20 pagi.

Setelah sampai di kepala paip untuk aku mengambil wuduk, tiba-tiba aku perasan sesuatu di tangan aku. Kesan lebam berwarna gelap di lengan aku dan kesan darah kering di tangan aku. Dari mana datangnya kesan lebam dan darah ini? Apa yang sebenarnya berlaku di sini? Apakah aku bermimpi atau ini memang satu kejadian yang benar? Aku terpaku memikirkannya.

Post a Comment

2 Comments

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)