| 0 comments ]
Sumber: Harian Metro
 Anak makcik tua itu berkata:

"Takkanlah tak sayang mak, bang. Saya buat begini kerana sayangkan mak dan mahu dia selesa."

Tinggalkan hotel dan hilangkan diri.
Oh.
Itu rupanya selesa.

*Hentak dinding de tepi kanan bahu aku*

Secara jujurnya, memang INILAH antara alasan-alasan BODOH orang setiap hari. PALING KLISE kita dengar dari bibir-bibir manusia jagatraya yang super defensif demi menyelamatkan punggung sendiri.

Pembaca dijemput membayangkan jawapan "saya orang susah" ini di apa jua situasi: dari "kenapa kau mencuri", "apa sebab kau melacur", "kenapa kau jahat laku" hinggalah "apa musabab kau berperangai begitu?".

Susah.
Apa maksud 'susah'?

Abah aku ada satu frasa yang boleh potong SEMUA alasan yang wujud dalam kehidupan sehari-hari.
Bagilah alasan apa juga.
Demam, tak larat, penat, tak ada semangat--
Lekas saja dia tanya:
"Boleh buat macam ni?"
Sambil buat gaya menyuap nasi ke mulut sendiri.

Pada askar tua itu,
Kau belum susah SELAGI kau mampu.

Dalam dunia ini, 'susah' bukan satu masalah. Yang ada cuma malas dan rajin. Kau hendak makan, KAU KERJA. Kau hendak senang, KAU KERJA. Kau hendak kaya, KAU KERJA. Jadi tak jadi hasilnya-- bukan soalnya. Kerjalah macam orang gila-- yang penting kau laksana-- kaya tak kaya, itu TUHAN PUNYA KERJA.

Malulah.
Orang kudung pun boleh bayar makan sendiri, kau yang elok sifat-- nak mengaruk-ngaruk suruh orang peduli.

Siapa kata tak ada kerja?
Hendak seribu daya.
Dan kalau rezeki cuma kerja jolok sawit,
kerjalah saja.
Jangan bising duitnya sikit.

Jangan tolak peluang tuhan menguji sabar kita. Redha tak redha kita ITU habuannya. Setimpal tak setimpal ITU ukuran sabarnya.

Kalau kau banding teratakmu dengan mahligai orang, pastilah jelas susahnya engkau. Tapi kenapa perlu engkau pilih untuk jadi buta? Ya. Secara duit-- kau lebih susah. TAPI. Secara trafik di bawah nanti? Yang kaya lebih banyak terima masalah. Nah. Sekarang. SIAPA lebih susah?

Tapi ah.
Bagaimana susahnya kita di hari ini takkan sepayah tok abah kita yang sampai meneguk air sabun dipaksa Jepun. Tak ada sampai perlu menjolok garam bersama nasi beralas daun. Kalau ada terlepas nasibnya, ada badan-badan yang diamanah menjaga haknya.

Banyak tak banyak sahaja.
Hendak tak hendak semata.

Tapi ah. Aku berani kata, yang sibuk memberi alasan "susah-- maka aku berlaku sedemikian" bukanlah yang benar-benar susah orangnya. Aku pernah bekerja untuk badan kebajikan masyarakat susah. Aku mahu kata orang yang BETUL-BETUL susahnya SEBOLEHNYA tetap mahu hidup bersama. Kalau BENAR terpaksa menjauh demi kebaikan bersama-- bagai terkoyak jiwa dan raga. Pedih maungnya ketika memaling-- KITA YANG MELIHAT ini pun tersiat jantungnya.

Orang begini--
Yang betul-betul susah ini--
Adalah gagah.

Bila mana seseorang itu sudah tidak punya APA-APA selain Allah--
DIALAH orang yang sudah memiliki segala-galanya.
(quote: di bawah lindungan Kaabah)

Tuan-tuan dan puan-puan,
Akan datang satu fasa dalam hidup kamu--
Yang kamu akan kehilangan SEGALANYA.
Aku BERSUMPAH atas nama Allah--
ITULAH harinya solatmu akan terasa TERPALING karib sama Tuhanmu.

Dan selepasnya,
akan datang kebangkitan satu-persatu;
menangislah.
Kerana orang-orang yang sudah kembali bahagia--
akan kembali juga pada lupanya.

*pause*

Kita BUKAN orang susah.

*menung lama*

Susah, konon.
Kalaulah kau tahu susahnya mengendong engkau berbulan-bulan--
Dan azabnya merasa mati yang sekejap itu--
SEMATA-MATA mahu memberi kau nafas pertamamu;

Nescaya sampai ke mati kau hirup air kaki ibumu.


(Fynn Jamal, 2012)

*****
 Nota Kaki:
1. Tulisan ini diambil terus dari laman Facebook Fynn Jamal, merujuk kepada kes anak buang mak yang terjadi baru-baru ini.

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.