SeeFood untuk ditonton, bukan untuk dimakan

Semalam aku pergi menonton SeeFood, iaitu sebuah filem animasi buatan negara Malaysia yang laku di dunia... macam lagu Pepsi Kola pula. Aku tertarik menonton filem animasi ini bukan hanya semata-mata mahu menonton satu hasil tangan anak tempatan, malah ingin menilai kemampuan anak tempatan menghasilkan produk yang jarang diceburi oleh warga Malaysia ini.

Maka dengan itu, aku pun bertekad untuk menonton filem animasi ini berseorangan... eh, lupa... aku ditemani dengan dua kanak-kanak... bukan... bukan... seorang kanak-kanak dengan seorang penjaganya... baru betul istilah ini... haha! Adanya mereka ni pun bukan sebab apa, kalau tak ke panggung, East Coast Mall tak ada apa-apa pun nak dilayan selain membeli-belah barangan-barangan yang berharga dan berjenama. Maka dengan itu, mereka pun turut serta sekali menonton bersama aku. Elok jugalah aku bawa untuk ditonton oleh kanak-kanak yang bersama aku.

Berbalik kepada filem ini, aku tak nak memberi komen panjang tentang filem animasi ini. Aku hanya memberikan komen ringkas dan padat sahaja... supaya kamu semua pergi tonton bersama-sama keluarga/anak-anak/isteri/suami/pasangan masing-masing. Kalau nak menonton berseorangan pun boleh.

Dari segi kualiti animasi, aku boleh memberikan markah yang tinggi walaupun terdapat beberapa perincian yang boleh dikatakan kelemahan dalam kualiti animasi. Walaupun begitu, aku boleh menutup sebelah mata sahaja kerana kelemahan ini hanyalah minima dan tak ramai yang mungkin mengesannya. Antaranya ialah perincian rambut 'ahli saintis' wanita (atau apa jua wataknya dalam filem ini) kelihatan agak statik dan plastik. Jika perincian rambutnya diberikan sedikit pergerakan bebas seperti rambut sebenar, pasti akan menjadikan animasi ini lebih menarik.

Sesuatu yang boleh dipuji bagi filem ini ialah mesej yang disampaikan dalam filem ini. Filem ini memberi satu mesej yang sangat mendalam dari segi benda tersurat mahupun tersirat. Apa yang boleh ditemui dalam filem ini secara permukaannya ialah kesetiaan dalam bersahabat, keyakinan dalam membuat sesuatu yang hampir mustahil serta kepercayaan sesama kawan. jika diperhatikan secara tersirat, ada beberapa mesej yang boleh diperolehi dari menonton filem animasi ini. Antaranya ialah pengaruh, kuasa dan kesan akibat membelot. Tak perlu aku rungkai dengan lebih mendalam, jika mahu tahu lebih banyak, silalah tonton filem ini di pawagam.

Bagi perjalanan cerita, dialog dan plot juga agak baik, tetapi banyak yang boleh diperbaiki. Antaranya ialah didapati hanya beberapa watak sahaja dengan dialog, manakala beberapa watak lain hanya bermain seperti watak senyap. Beberapa situasi yang memerlukan dialog tambahan seperti menjerit, merengus, dan mengerang juga tiada. Pertukaran adegan (scene transitions) juga banyak menggunakan kaedah fade transition walaupun dalam keadaan suspen. Campuran beberapa adegan juga tidak beberapa menjadi dan dilihat agak bercelaru dan perasaan suspen gagal untuk aku rasai. Walaupun begitu, unsur-unsur komedi juga diserapkan dalam filem ini dan inilah yang aku tertunggu-tunggu memandangkan filem ini bukanlah filem yang terlalu serius. Komedi-komedi yang diterapkan juga berjaya membuatkan aku tertawa sambil menonton filem ini terutama kerenah watak ayam dan ketam yang menggelikan hati.


Itu sahajalah yang mahu aku komen tentang filem SeeFood ini. Walaupun sedikit, namun aku rasa banyak juga kandungan yang aku sampaikan. Kepada yang belum menonton, silalah menonton filem animasi ini, iaitu filem animasi berbahasa Inggeris pertama negara. Tahniah kepada mereka yang menghasilkan filem ini, yang telah berjaya ditayangkan di lebih 90 buah negara di seluruh dunia termasuk Korea Selatan, Russia, Poland, Jerman, Turki dan lain-lain.

Kepada lain-lain, sokonglah produk buatan Malaysia dan selamat menonton!

Post a Comment

0 Comments