| 0 comments ]
Oleh WIRAKARNAIN SANI,
Universiti Malaya.

PILIHAN raya pelajar di kampus Universiti Malaya sedang hangat dan rancak berjalan. Kehangatan telah dirasai pada hari penamaan calon dengan mahasiswa dan mahasiswi yang menggelar kesatuan mereka Pro Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa berarak menuju ke tempat penamaan. Calon-calon yang bertanding berpakaian kemas bagaikan wakil rakyat.

Teriakan mahasiswa memecah kesunyian yang menjadi tradisi utama di bangunan perpustakaan.

Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan hasrat dan aspirasi perjuangan mereka mencapai objektif.


Pilihan raya kampus dijadikan medan untuk mereka memperkasakan diri atau menimba pengalaman dalam ilmu politik.

Malangnya ada segelintir mahasiswa yang terlalu taksub berpolitik secara songsang di universiti sehingga mereka tergelincir dari landasan utama iaitu menimba ilmu dan memperkasakan diri dengan menambah ciri-ciri modal insan.

Sebagai contoh mereka seharusnya miliki personaliti unggul yang menolak nilai-nilai negatif dan memperkasakan nilai positif.

Mahasiswa yang tersasar dari landasan utama ini akan memasuki zon mahasiswa 'taugeh'.

Mahasiswa 'taugeh' ini selalunya adalah mahasiswa yang muflis kebijaksanaan intelektualnya, muflis kebijaksanaan bersosial, muflis kekuatan kerohanian, muflis idealisme perjuangan dan muflis kebijaksanaan mengawal emosi.

Kelahiran mahasiswa taugeh ini sudah pasti akan menjadi liabiliti kepada negara. Istilah taugeh diguna pakai kerana ia kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur kerana ia muflis dari segi khasiat dan tidak boleh tahan lama dan akan cepat layu bila tidak direndam di dalam air.

Mahasiswa yang muflis kebijaksanaan inteleknya sentiasa tidak dapat berfikir secara rasional, kritis, kreatif dan tidak mampu menyumbang ilmunya untuk kesejahteraan manusia.

Mereka kerap kali memainkan isu yang tidak berasas dan menaburkan fitnah.

Mereka membawa dan menyebarkan khabar angin semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan publisiti murah.

Kemunculan 'mahasiswa taugeh' yang membawa isu memfitnah Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya dan merasuah mahasiswa menjadi calon adalah salah satu cubaan untuk memalukan pegawai tertinggi dan mahasiswa lain di universiti bertaraf perdana ini.

Mereka harus insaf dan kembali ke pangkal jalan. Mereka perlu memohon maaf kepada semua warga Universiti Malaya. Tindakan mereka itu merosakkan nama baik Universiti Malaya.

Mahasiswa taugeh yang muflis idealisme perjuangan tulen akan membenarkan pihak luar mempengaruhi minda dan melakukan aktiviti yang bercanggah dengan etika.

Apabila diimbas kembali semasa perarakan pada hari penamaan calon, gelagat mahasiswa Pro Mahasiswa yang memakai baju oren, jaket-jaket hitam dengan banner serta ribuan buku risalah yang berkualiti tinggi menimbulkan seribu satu persoalan.

Dari mana sumber kewangan mereka perolehi? Adakah daripada sumber kewangan biasiswa atau pinjaman PTPTN dilaburkan untuk berkempen? Adakah mereka telah ditaja oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tersirat?

Nasihat saya kepada seluruh mahasiswa Universiti Malaya agar memastikan pemimpin yang mahu dipilih dan dilahirkan adalah pemimpin kelas pertama dan bukannya pemimpin taugeh atau pemimpin kangkung.

Telitilah secara kritis kepada semua fitnah melampau yang dilontarkan oleh 'mahasiswa taugeh'. Mahasiswa Universiti Malaya tulen harus mulakan satu gerakan berfikir secara bersepadu bermula hari ini.

Imbas kembali semua fitnah-fitnah tersebut dan mengundilah secara bijak. Jauhi budaya fitnah melampau yang sedang menguasai minda mahasiswa Universiti Malaya.

Mahasiswa hebat adalah mahasiswa yang menerokai ilmu melalui lipatan sejarah kerana kekuatan berfikir bermula di situ, manakala mahasiswa agung akan berfikir sepantas cahaya kerana mereka tidak mahu ketinggalan pada hari esok.

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.