Bertindak terhadap blog hina Sultan Perak

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Ambil tindakan terhadap laman web dan blog hina Sultan!

Pihak berkuasa diminta segera bertindak terhadap laman web atau blog yang jelas menghina dan mempersoalkan tindakan Sultan Perak menitahkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya meletak jawatan.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, tindakan beberapa laman web bersikap kurang ajar adalah amat keterlaluan.


Tegas beliau, perbuatan kurang ajar itu tidak wajar dibiarkan berterusan kerana dikhuatiri akan menjadi barah yang merosakkan negara.

“Orang Melayu yang derhaka dan kurang ajar terhadap sultan termasuk bangsa lain tiada tempat dalam masyarakat dan negara.

‘‘Harap orang Melayu lain sedarlah kerana penghinaan ini bukannya berlaku sekali tetapi telah berkali-kali sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac ini mengulas mengenai isu yang berlaku di Perak akibat kedegilan Mohammad Nizar untuk menerima hakikat kerajaan pimpinannya telah tumbang.

Mohamad Khir berkata, rakyat Perak dan penduduk negeri lain bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan Raja Melayu dan jangan sesekali membiarkan bangsa lain menghina dan memperlekeh institusi tersebut.

“Jika orang Melayu sendiri turut menghina dan tidak mempertahankannya, maka selagi itulah orang lain akan terus mengambil kesempatan kerana mereka percaya tindakan mereka itu direstui,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai menyertai perhimpunan besar-besaran mempertahankan kedaulatan Raja Melayu anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO di Ipoh, esok. - Utusan

Post a Comment

0 Comments