2010: Transformasi ke arah yang lebih maju

Tahun 2009 telahpun ditinggalkan dengan seribu satu kisah suka dan duka untuk kita jadikan sebagai kenangan dan pengajaran untuk masa hadapan. Bukannya sedikit perkara yang telah berlaku, malah banyak perkara besar telah berlaku dan telah memberi impak dari sekecil-kecilnya kepada sebesar-besarnya.

Untuk menjadikan diri lebih ke hadapan dan gemilang, tahun 2009 dan sebelumnya bolehlah dijadikan arkib rujukan agar dapat menjana budaya kegemilangan pada masa hadapan.

Di ketika rakan-rakan sebayaku keluar menyambut sambutan awal tahun, aku dan bersama-sama sahabat aku yang lain sedang sibuk bermesyuarat untuk memastikan projek universiti yang sedang kami usahakan ini dapat diletakkan semula dalam landasan masa yang sepatutnya. Mesyuarat ini juga berlarutan sehingga lebih 1 pagi. Itulah 'sambutan' tahun baru yang aku sertai bersama-sama sahabat-sahabat aku yang sentiasa komited dalam projek ini.

Tiada apa yang boleh aku katakan sepanjang sambutan malam tahun baru kerana aku tak pernah menyertai parti atau sambutan tahun baru. Namun begitu, bukanlah bermakna aku tidak bersedia untuk menjalani tahun baru, tetapi aku lebih suka dengan caraku.

Tahun baru ini juga telah membawa aku untuk menyertai Kursus Bina Negara yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara di Kem Bina Negara Maran.

Sejak kebelakan ini juga, beberapa polemik telah disuarakan oleh beberapa pihak tentang BTN yang menyatakan bahawa BTN ini adalah rasis dan menjadi ajen kepada kerajaan untuk mencuci minda rakyat agar menyokong kerajaan. Polemik ini jugalah yang antaranya menggalakkan aku untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di BTN sendiri. Jika aku menyertainya, barulah boleh aku lontarkan komen yang sepatutnya.

Sepanjang aku di BTN, tiada apa yang buruk telah berlaku. Tiadapun hasutan oleh jurulatih-jurulatih untuk memaksa ataupun mencuci otak aku untuk menyokong kerajaan. Walaupun terdapat beberapa perbincangan politik yang bukan sahaja politik kampus malah politik semasa nengara sendiri secara terbuka, namun perkara yang paling utama diketengahkan adalah untuk mencintai negara, bukannya memilih parti politik mana yang patut disokong. Keterbukaan inilah yang telah disalah ertikan oleh beberapa pihak yang sentiasa mahukan negara Malaysia ini bergolak.

Di kala ramai yang makin leka pada awal tahun ini, aku telah mendapat ilmu yang banyak tentang kepentingan aku kepada negara. Negara ini adalah sesuatu yang tak patut disia-siakan, tak patut dikorbankan. Negara ini hanyalah pinjaman sahaja, iaitu kita meminjam kepada anak-anak dan generasi selepas kita. Oleh sebab itulah aku rasakan aku perlu berbuat sesuatu untuk memastikan negara ini sentiasa lebih baik demi survival negara ini kepada anak bangsa generasi aku akan datang.

Pendidikan, ekonomi, sosial dan politik negara haruslah mencetuskan budaya cemerlang kepada setiap rakyatnya. Oleh yang demikian jugalah satu langkah yang lebih pantas dan cemerlang haruslah dimulakan untuk memastikan negara ini ke arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dalam mencapai visi Wawasan 2020.

Dalam dunia yang penuh mencabar ini, haruslah diakui bahawa ancaman-ancaman dari luar negara amatlah tinggi kerana kemampuan negara kita untuk menjadi lebih maju dan gemilang. Itulah sebabnya mengapa tanah air ini telah dijajah sejak 1511 sehinggalah 1957. Kini, mereka mahu menjajah lagi. Haruslah kita sedar yang teori penjajahan mereka kini bukan lagi bersifat fizikal dan politik, tetapi lebih kepada ideologi dan corak pemikiran. Maka dengan itulah anak muda masa kini lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh anasir-anasir buruk ini.

Maka dengan itu jugalah, aku sebagai mahasiswa Malaysia harus bertindak untuk membantu pemimpin-pemimpin sedia ada untuk meneruskan perjuangan survival negara kita serta mempertahankan negara dari pelbagai aspek untuk memastikan kesinambungan keharmonian untuk generasi yang akan datang. Kuasa orang muda pada masa kini dilihat lebih diterima dan dihormati oleh pemimpin dan ini menunjukkan kesan positif kepada negara. Namun, apakah ini akan terus menjadi amalan pemimpin-pemimpin lain? Diharapkan juga bahawa pemimpin-pemimpin yang hanya pada kertas tetapi tidak kepada hati masing-masing dengan segera undur diri untuk memastikan pemimpin-pemimpin yang benar-benar sayangkan negara, bangsa dan agama mendapat tempat yang sepatutnya untuk berjuang.

Aku, bersama rakan-rakan mahasiswa yang lain adalah pewaris negara ini. Mungkin aku tidak akan terlibat secara langsung dalam perjuangan-perjuangan negara seperti ahli-ahli politik, namun aku tetap memegang janji-janji aku untuk memastikan keharmonian dan survival negara ini ke mata dunia.

Post a Comment

0 Comments