Banyak koleksi baju

"Banyaknya baju! Macam perempuan!"
Pasti banyak yang akan mengeluarkan ungkapan ini apabila mereka menyedari jika ada antara kawan-kawan lelaki mereka mempunyai banyak koleksi baju. Sekiranya perempuan memiliki banyak koleksi baju dalam simpanan mereka, pasti semua orang menganggap itu adalah perkara biasa. Namun begitu, inilah realiti kepada aku. Aku memiliki banyak koleksi baju sehinggakan ada baju yang aku miliki tak pernah aku pakai lagi. Ada juga baju yang aku hanya pakai sekali sepanjang aku memiliki baju-baju tersebut.

Aku bukanlah seorang yang memiliki hobi mengumpul baju melainkan jaket. Loker pakaian aku di rumah ada empat tingkat kesemuanya untuk sebelah bahagian loker. Tiga tingkat hanya dipenuhi semata-mata baju sahaja. Jumlah baju yang boleh disimpan dalam satu-satu tingkat bukanlah sikit. Boleh mendirikan dua 'menara' baju dalam satu tingkat loker. Bayangkan jika ada tiga tingkat, sudah ada enam menara. Ini tidak termasuk baju-baju aku yang bergantung di dalam kira-kira tiga loker berasingan, dan ruang bawah menggantung pakaian juga dipenuhi dengan baju. Hanya ada satu tingkat sahaja yang penuh dengan seluar dan pakaian-pakaian lain seperti stokin, singlet dan lain-lain. Tidak cukup dengan itu, baju aku juga telah mengisi lagi dua tingkat laci pakaian di bilik aku.

Bayangkan betapa banyak baju yang aku ada, sehinggakan ada yang tak pernah aku gunakan. Namun, walaupun banyak sedemikian, aku tetap kenal baju aku. Bukannya aku tak pernah memberi baju-baju aku kepada orang lain, malah sudah beberapa kali aku memberikan baju-baju aku kepada orang lain yang aku rasa memerlukan baju pada satu-satu situasi, namun loker aku tak pernah lekang dengan baju yang melambak-lambak.

Walaupun aku memiliki banyak baju, namun aku tidak memiliki banyak seluar seperti banyaknya baju yang aku ada. Namun, aku rasa jumlah seluar yang aku ada sudah mencukupi. Satu lagi perangai aku adalah walaupun memiliki banyak baju tetapi aku selalu mengulangi memakai baju-baju kegemaran (favourite) setiap kali selepas dibasuh. Sampaikan mama menegur aku, "punyalah banyak baju kamu ada, tapi asyik pakai baju yang sama je, ulang-ulang baju yang sama je."

Aku pun pelik, kenapa aku suka ulang-ulang memakai baju yang sama. Nak kata tak cukup baju, aku ada banyak baju sampai tak terpakai. Entahlah, aku pun tak pasti.

Aku memiliki baju-baju itu bukanlah semata-mata aku membelinya, tetapi ada banyak juga baju yang aku ada aku terima dari orang lain sebagai hadiah, cenderahati, barang kenangan dan lain-lain. Apa pun, aku tetap menerima baju-baju yang diberikan kepada aku. Tak kurang juga baju-baju program-program dan aktiviti yang aku tagih jika ada lebih. Tak malu betul aku ni.

Aku tak pernah ada minat mengumpul baju, tetapi baju-baju yang aku ada terkumpul dengan sendirinya. Alkisah aku cerita ini lebih kepada sebuah loker dan satu rak laci di bilik aku. Belum aku kira lagi dalam loker-loker lain. Aduh, mana aku nak letak baju lagi ni?

Sebenarnya aku lebih minat mengumpul jaket dan kasut tetapi akibat daripada minat ini memerlukan kos yang agak tinggi untuk aku mengumpul lebih banyak jaket dan kasut, tak banyak kasut dan jaket berjaya aku kumpulkan.

Apa pun, aku harapkan satu masa nanti baju-baju yang aku ada ini dapat aku berikan kepada orang lain yang memerlukan baju. Mangsa bencana alam barangkali. Insya-Allah.

*****
Nota Kaki:
1. Nasib baiklah adik aku banyak pow baju-baju aku. Kalau tidak, mana aku nak letak baju-baju ni?

Post a Comment

0 Comments