Apa ada dengan kisah lalu?

Sumber: Honda.com

Pasti setiap di antara kita ada kisah lampau masing-masing. Tak kira bagus, teruk, gembira mahupun sedih, setiap yang pernah ada di dunia ini memiliki kisah yang bermacam-macam jenisnya. Namun begitu, ada juga orang yang suka merasa bangga dengan kisah-kisah lalu dan terbawa-bawa kepada masa sekarang. Pernahkah korang menjumpai manusia seperti ini? Sepanjang hidup aku, banyak orang seperti ini. Malah, aku juga kadang-kadang terbawa-bawa kemegahan masa lalu kepada situasi semasa. Di bawah ini, aku senaraikan beberapa jenis situasi masa lampau yang biasa orang terbawa-bawa ke masa sekarang. Apa yang aku senaraikan di bawah adalah berdasarkan perspektif aku semata-mata.

1. Ada aku kisah sekarang? Dulu, akulah yang paling hebat!
Secara jujurnya, aku tak suka akan orang yang bersifat seperti ini. Antaranya ialah penyokong-penyokong pasukan Liverpool yang terlalu membanggakan kejayaan pasukan mereka pada zaman 80-an. Sekarang sudah lain, ada aku kisah kisah lalu? Kalau betul-betul Liverpool hebat, sepatutnya mereka dapat menjuarai Liga Perdana Inggeris pada zaman moden ini! Contoh lain juga adalah orang Melayu kini yang masih lalai dengan kemudahan hidup. Ada yang membangkitkan, "aku adalah anak bangsa Melayu yang pernah menjajah tanah Nusantara satu ketika dulu!" Bagi aku, kata-kata demikian tak memberi apa-apa makna kerana banyak anak Melayu sedang menjual tanah air sendiri kepada penjajah. Orang seperti ini, lebih aku suka campakkan ke dalam sungai yang dipenuhi buaya. Aku juga berharap orang-orang yang berkaitan dengan pasukan bola sepak negara tidak terlalu taksub membanggakan kejayaan negara ketika zaman Super Mokh sedang beraksi, bahkan mereka patut melihat situasi sekarang untuk menjadikan pasukan bola sepak kita sekarang lebih hebat dari zaman Super Mokh mereka.

2. Dulu aku hebat! Sepatutnya sekarang aku jadi lebih hebat!
Orang begini adalah bagus jika diletakkan dalam dunia perniagaan dan pentadbiran. Mereka akan bermotivasi untuk mengubah sesuatu itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Namun begitu, ada sedikit keburukan sekiranya ada orang seperti ini kerana mereka ini tidak pandai untuk bersyukur dan menerima kenyataan sekiranya mereka tidak berjaya ataupun gagal. Sampai satu ketika, mereka akan bersikap menjengkelkan orang lain kerana ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara-perkara yang mereka rasakan tidak cukup.

3. Hebatkah aku dulu? Ah, sama saja!
Untuk orang seperti ini, ada dua kategori. Pertamanya, orang sebegini adalah orang yang tidak mahu berubah ataupun telah demotivated. Ada kemungkinan kehidupan mereka sebelum ini cukup bagus sehinggalah sesuatu berlaku yang menyebabkan mereka tidak lagi seperti yang lalu. Kategori kedua pula adalah orang yang tidak suka meninggikan diri. Ada logik juga orang begini memperkatakan perkataan di atas untuk mengelakkan diri daripada terhanyut dengan pujian. Maklumlah, masyarakat kita ini banyak orang yang suka membodek-bodek orang yang hebat untuk mendapatkan sesuatu atas kepentingan mereka sendiri.

4. Kisah dulu, lantaklah! Yang penting sekarang!
Dari persepsi negatif aku, orang begini adalah orang yang tak mahu belajar dari sejarah. Kini, banyak orang sudah menjadi pelupa sejarah sama ada sengaja ataupun tidak. Malah, ada juga orang-orang tua yang duduk dalam kerusi politik juga tidak mahu belajar dari sejarah sebenar. Kalau si tua tak mahu belajar, jangankan pula yang muda. Lagi teruk jadinya. Persepsi positif pula, orang yang pernah mengalami sesuatu yang menyedihkan sebelum ini kini mempunyai motivasi baru untuk terus hidup. Mereka ini kebiasaannya sudah sedar akan kepentingan untuk memajukan diri sendiri.

Untuk nombor-nombor seterusnya, korang boleh tambah sendiri. Kalau nak kongsi bersama, tinggalkanlah di bahagian komen. Aku bukannya tak ada idea, cuma aku nak pergi makan mi goreng. Selamat makan! Haha!

Those who cannot remember the past are condemned to repeat it. 
George Santayana

Post a Comment

0 Comments