Kembar Si Penghulu (Bahagian 5)

"Masa tu, aku kecil lagi. Aku dibawa bersama-sama dengan mak dan ayah aku ke sungai untuk mandi dan membasuh pakaian. Sungai yang terletak dekat dengan kampung aku di Kampung Stenggang, Bau. Biasalah, kawasan kampung. Kalau air bukit tak sampai ke rumah, sungailah tempat kami membersihkan diri," aku memulakan cerita dengan mengimbas sejarah yang pernah berlaku 18 tahun lalu.

"Ada satu kali tu, aku bermain air berseorangan. Mak dan ayah aku masih sibuk membasuh apa yang perlu. Aku berjalan menjauhi sedikit dari kawasan tebing. Kemudian...,"

"Kemudian apa?" tanya Bert yang beriya-iya mahu mengetahui ceritanya.

"Kemudian, tiba-tiba sahasa aju tergelincir dan tenggelam kedalam sungai. Pada masa itu, aku tak pandai berenang lagi. Lagipun pada dasarnya, masa aku kecil, aku ni jenis yang takut air. Begitupun, pada ketika itu aku tidak panik langsung. Aku rasa biasa sahaja. Walaupun aku tahu aku sedang tenggelam di dalam air sungai. Tidaklah dalam, tetapi disebabkan aku masih kecil, aku tenggelam di dalam sungai,"

"Mak dan ayah kau tak perasan ke?" tanya Bert.

"Entahlah. Aku tak terfikir langsung ketika itu. Yang aku tahu, ketika aku tenggelam, aku nampak satu kota indah di dalam sungai. Dengan ikan-ikan yang berenang berwarna-warni, dan suasana di dalamnya sungguh tenang," balas aku dan menyambung cerita.

"Wah, kemudian apa yang berlaku?" tanya Bert lagi.

"Aku tak pasti apa yang berlaku, tetapi aku teringat beberapa wajah mendekati aku dengan senyuman. Menyambut aku dengan gembira. Seperti sepasang suami isteri di hadapan aku dan beberapa lagi wajah yang mengelilingi aku. Ada seorang itu, wajahnya seperti... sep... seppp...," kata-kata aku tersekat-sekat kerana ingatan aku kembali dengan serta merta.

"Seperti apa?"

"Sep... seperti wajah... waj...," kata-kata aku masih tersekat-sekat.

"Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba sahaja tergagap-gagap? Kau sakit ke?"

"Tak... tak.... Wajah dia seperti wajah aku sekarang," balas aku dengan keadan terkejut apabila ingatan 18 tahun yang lalu terimbas dan memberi kesan kepadaku sekarang.

"Erm... lagi, wajah apa lagi yang kau kenal? Mesti ada banyak lagi wajah di situ," kata Bert yang mahu aku mengimbas lagi kenangan lalu.

"Tak naklah. Cukuplah dengan apa yang aku ingat ni. Aku tak nak ingat lagi," jawab aku.

"Kau jangan berhenti. Aku nak kau imbas satu sahaja wajah. Wajah yang kau kenal. Kau cuba ingat wajah itu," balas Bert yang melarang aku untuk berhenti.

"Baiklah."

Perbualan terhenti seketika. Aku cuba mengingati wajah-wajah yang ada pada masa itu."

"Selain pasangan dan lelaki berwajah aku itu, ada dua orang yang duduk dekat denganku. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang ditemani banyak lagi orang suruhannya di belakang."

"Cuba kau imbas kembali wajah-wajah mereka."

"Wajah lelaki itu aku tak tahu, kerana hidung dan mulutnya dilitupi kain seperti seorang ninja," balas aku.

"Perempuan tu?"

"Wajah perempuan tu, seper...," aku terhenti kerana terkejut.

"Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba sahaja pucat!"

"Ak... aku... aku.... Eh, dia... per... dia...,"

"Siapa dia tu?"

"Dia... perempuan tu," balas aku lagi.

"Kenapa dengan perempuan tu?" tanya Bert lagi yang mencuba untuk memastikan aku menjawab soalan-soalannya.

Aku menoleh kepada Bert sambil berkata, "perempuan yang ada pada masa itu... sama dengan gadis misteri yang aku jumpa di Kuching hari tu!"

Aku kembali menoleh ke hadapan, dengan perasaan terkejut, jantung berdegup kencang dan peluh dingin melitupi aku.

"Nampaknya, kau dah ingat. Baguslah. Tunggu masa untuk kau ambil hak-hak kau sahaja," kata Bert sambil meregangkan badan seperti mengeliat.

"Hak, hak apa? Kenapa semuanya berkata tentang hak? Apa yang kau tahu tentang hak ni?" aku bertanya soalan kepada Bert dengan perasaan ingin tahu yang tinggi.

"Sudahlah, aku dah mengantuk. Jam pun dah pukul 2.00 pagi. Aku nak tidur dulu. Nanti-nantilah aku ceritakan, atau orang lain yang akan tolong ceritakan kepada kau. Esok nak kena bangun awal. Jumpa lagi esok pagi. Selamat malam!" Itulah kata-kata terakhir Bert pada malam itu.

Aku pun bangun lalu masuk ke dalam dorm. Aku memanjat ke atas katil dan melelapkan mata.

*****

Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Bas peserta program sudah mula bertolak ke perkampungan orang Penan. Aku menoleh Kompleks Sukan Petronas dan melihat seorang lelaki berselubung hitam dengan muka yang dilitupi kain berdiri melihat kami pergi. Aku tidak syak apa-apa ketika itu kerana sibuk melayan kawan-kawan yang membuat bising di dalam bas.


Setibanya kami di perkampungan orang Penan, yang dinamakan Rumah Ogus, kami berkumpul di sebuah balai raya kecil yang cantik. Pada ketika itulah aku pergi kepada Bert dan berkata sesuatu.

"Terima kasih, Bert untuk malam tadi."

Bert kehairanan, lalu menjawab, "sama-sama, tapi untuk apa?"

"Kerana teman aku bersembang malam tadi. Aku hargainya."

"Bila pula aku bersembang dengan kau? Aku sibuk berbincang dengan fasilitator malam tadi. Lepas bincang, aku terus tidur. Shamsul dan Hafiz ada sekali dengan aku semalam. Bila pula aku jumpa kau malam tadi?" tanya Bert kehairanan.

"Adalah, kan di ruang tamu belakang dorm malam tadi? Takkan tak ingat?"

"Kau salah ni, Syam. Aku memang ada perbincangan malam tadi. Habis sahaja berbincang, aku terus tidur. Tanyalah ketua kumpulan kau kalau tak percaya," balas Bert.

"Erm... baiklah. Aku percaya," balas aku dan berlalu pergi. Aku duduk bersandar di dinding balai raya itu lalu mengingat kembali kejadian malam tadi.

"Aku pasti itu Bert. Takkan aku salah orang?" aku bermonolog berseorangan. Aku termenung hinggalah aku disergah Flo, salah seorang ahli kumpulan aku.

"Papa! Gelak...! Gelak...! Hihihihi...," sergah Flo, seorang ahli kumpulan aku yang bertubuh kecil ditemani dengan Dorina. Ahli kumpulan aku memanggil aku Papa kerana atas gelaran yang aku terima dalam kumpulan yang kononnya sesuai menjadi 'papa' mereka.

"Apalah kamu ni. Suruh orang lain gelak, dia yang gelak sendiri," balas aku menyindir sinis kepada Flo.

"Hihihi.... Apa papa termenung ni? Ingat pada Mama, ya? Hihihi...," kata Flo lagi sambil ketawa.

"Ish, kamu ni. Dah... dah.... Program dah nak mula ni. Duduk diam-diam. Asyik gelak sahaja! Haha...," balas aku dengan tergelak.

Perjalanan aktiviti di Rumah Ogus berjalan dengan baik. Aku mendapat keluarga angkat berketurunan Penan yang tidak beragama. Aties barangkali. Keluarga itu sangat baik kepada aku dan kawan-kawan yang menjadi anak angkatnya. Keluarga ini juga memiliki dua cucu perempuan yang comel-comel. Mereka ini jugalah secara tidak langsung menjadi anak saudara angkat kepada aku.

Kehidupan satu malam di sana sangat tenang dan aman. Semuanya baik bagi aku sehinggalah bapa angkat aku berkata sesuatu kepadaku, "baguslah kamu sudah pulang. Sampaikan pesan salam saya kepada Raja Kenyalang,"

"Raja Kenyalang? Siapa dia?" tanya aku kepadanya.

"Nanti kamu tahulah," balas ayah angkat aku itu.

Kami meninggalkan Rumah Ogus dan Miri untuk kembali ke Kuching. Walaupun perjalanannya mengambil masa yang panjang, kebanyakan masanya aku tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu memikirkan kejadian-kejadian pelik yang sering berlaku kepadaku sejak aku kembali ke Sarawak.

Tibanya di Kuching, kami semua dibawa ke Waterfront Kuching untuk membeli cenderamata untuk dibawa pulang. Dalam sibuk berjalan, aku terpisah dari kawan-kawan yang lain.

Aku cuba mencari kawan-kawan lain, tetapi aku tidak menjumpai mereka. Aku berehat seketika di satu bangku, tiba-tiba aku ditegur oleh seseorang dari belakang.

"Apa yang kamu fikirkan?"

Aku menoleh ke belakang dan mendapati orang yang menegur aku itu adalah gadis misteri yang kerap aku berjumpa sebelum ini.

"Kamu?"

Post a Comment

0 Comments