| 0 comments ]
Perjanjian Warisan Kenyalang
Tarikh: 8 Jamadil Akhir 1413

Arakian terlahirlah perjanian antara dunia manusia dan kerajaan Kenyalang atas kepercayaan antara kedua-duanya untuk memulangkan Sri Andika Pura atau nama manusianya Mohd Fadzrul Hisyam kepada dunia manusianya dengan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang bersama roh Sri Andika Pura dengan tetapan-tetapan perjanjian berikut:

1. Sri Andika Pura harus kembali ke Bumi Kenyalang untuk mengambil hak yang sudah ditetapkan Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang apabila sesudah berumur 21 tahun atau separuh hayatnya menjadi milik Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang.

2. Kiranya Sri Andika Pura pulang pada tetapan perjanjian, Sri Andika Pura dikurniakan kerajaan Kenyalang sebagai anugerah atas memenuhi perjanjian Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang dengan Sri Andika Pura atau separuh hayatnya menjadi milik Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang.

3. Sri Andika Pura harus mengambil Puteri Cempaka Sutera sebagai permaisuri kerajaan Kenyalang sepanjang hayat pemerintahan Raja Sri Andika Pura di kerajaan Kenyalang.

4. Jika perjanjian ini dipenuhi, seluruh kerajaan Kenyalang bersama kerajaan naungannya akan membebaskan Sri Melur Puri iaitu adik perempuan Sri Andika Pura sepenuhnya dari perjanjian yang diwujudkan dan Sri Andika Pura bakal menggantikan Sri Melur Puri dalam perjanjian lama.

5. Jika Sri Andika Pura tidak memenuhi keperluan dalam perjanjian, arakian seluruh hayatnya akan menjadi milik Duli Yang Maha Mulia Raja Kenyalang.

6. Sekiranya ada mana-mana bahagian dalam perjanjian tidak dapat dipenuhi oleh pihak Duli Yang Maha Mulis Raja Kenyalang, arakian segala perjanjian ini terhapus seluruhnya dan Sri Andika Pura layak menetapkan seluruh perjanjian baharu kemudian hari.
Selesai sahaja aku membaca surat perjanjian itu, aku terduduk, sambil memikirkan tentang perjanjian ini yang tercipta 18 tahun lalu.

"Patutlah, selama ini... mimpi-mimpi aku... segala kejadian yang menimpa aku... adalah disebabkan perjanjian ini," bermonolog aku keseorangan.

Aku membaringkan diri aku di atas katil dan lama kelamaan terlelap sendiri.

*****

Jam sudah menunjukkan 6.00 petang. Aku sedang bersiap untuk majlis makan malam terakhir untuk program yang aku sertai ini. Terdetik juga dalam minda aku teringatkan akan Raja Kenyalang, yang akan berjumpa dengan aku malam ini untuk membuat perjanjian baru, sedangkan aku tidak tahu apakah perjanjian baru yang perlu aku buat.

Selesai sahaja solat jamak Maghrib dan Isyak, aku dan peserta program bertolak ke Santubong untuk majlis makan malam.

"Bas depan untuk lelaki, bas belakang untuk perempuan!" jerit Bert memaklumkan pembahagian bas untuk ke majlis makan malam.

"Eh, dah tak duduk dalam kumpulan dah?" tanya Pian.

"Entah. Belasah sajalah. Memanglah tak syok, tapi belasah saja," jawab aku.

Aku dan peserta lain menaiki bas dan terus ke Santubong.

Tibanya di Santubong, kami semua berlegar-legar di keliling dewan sementara tetamu VIP tiba. Aku pula berdiri berseorangan memandang pantai di sebelah dewan. Aku teringatkan apa yang berlaku semalam. Aku teringatkan tentang Sutera yang telah ditikam Gagak dan saat-saat akhir sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir.


Aku duduk mencangkung dan menunduk ke pasir pantai. Tiba-tiba, ada aku terlihat kaki seorang lelaki memijak di hadapan aku. Aku mendongak. Rupa-rupanya Raja Kenyalang yang berada di hadapan aku.

"Hisyam. Erm... beta rasa kamu sudah mengetahui nama kamu. Sri Andika Pura, beta datang untuk membuat satu perjanjian baharu seperti yang termaktub dalam perjanjian kita sebelum ini," kata Raja Kenyalang.

"Ampun tuanku. Patik tidak tahu perjanjian apa yang perlu patik tetapkan," balas aku.

"Apa-apa sahaja yang kamu mahu, kerana beta dan orang-orang di bawah naungan beta tidak akan memungkiri janji dalam perjanjian ini sehinggalah hari kiamat," jelas Raja Kenyalang.

"Jika begitu tuanku, patik cuma ada tiga perkara sahaja. Pertama, bebaskan adik patik, Sri Melur Puri dari segala gangguan oleh orang-orang tuanku di kerajaan Inderapura Lama. Kedua, patik memulangkan segala kemahsyuran, kerajaan dan kuasa yang ada di kerajaan Kenyalang kepada tuanku dan patik tidak akan mendapat satu kurnia pun dari kerajaan tuanku. Ketiga, patik berkehendakan negeri ini dijaga dengan aman dan jauhkan gangguan orang-orang tuanku dari masyarakat manusia sekurang-kurangnya sehingga nyawa patik diambil Tuhan," balas aku dengan menyatakan tiga perjanjian baharu kepada Raja Kenyalang.

"Baiklah, beta setuju," balas Raja Kenyalang sambil menghulurkan tangan untuk bersalam denganku.

"Walaupun begitu, beta mahu meminta jasa baik kamu untuk memenuhi satu permintaan dari beta."

"Baiklah, apa dia tuanku? Jika ada kemampuan, patik akan laksanakan."

"Sebenarnya, tanpa pengetahuan kamu setelah beta mengembalikan kamu ke dunia manusia, Sutera pernah menyerahkan separuh hayatnya kepada beta untuk menjadi seperti kamu, iaitu hidup ke alam manusia sebagai manusia sepenuhnya dengan syarat separuh lagi hayatnya hendaklah dihapuskan oleh seorang berketurunan beta sendiri. Disebabkan Gagak adalah adinda beta, maka syarat itu dipenuhi. Oleh demikian, beta telah melaksanakan janji beta kepada Sutera, iaitu membenarkan Sutera hidup sebagai manusia. Dia sudahpun berusia 19 tahun sebagai manusia dan dia sudah ada dari kalangan manusia di keliling kamu."

"Jadi, apakah permintaan tuanku?"

"Beta meminta supaya kamu menjaganya untuk hidup di alam manusia, membimbing untuk menjadi manusia yang baik," jawab Raja Kenyalang.

"Kalau begitu, siapakah Sutera di alam manusia?"

"Maaflah, beta tidak boleh memberi tahu kerana ini adalah perjanjian beta dengan Sutera. Satu lagi, Sutera juga tidak kenal akan dirinya di alam beta. Dia tidak akan kenal siapa itu Sutera, siapa beta dan semestinya siapa kamu, kerana segala ingatannya telah diambil sebagai bayaran untuk menjadi manusia. Paras rupanya juga tidak sama dengan Sutera yang kamu kenali. Wajahnya itu tidak akan sama," balas Raja Kenyalang.

"Jika begitu, baiklah. Sekiranya patik ada berjumpa dan mengenalinya, patik akan cuba memenuhinya. Begitupun, boleh tuanku serahkan kain biru ini kepada Sutera? Sebagai tanda untuk patik mengenalinya di alam manusia ini." balas aku kepada Raja Kenyalang.

"Baiklah. Beta boleh membantu kamu untuk ini," balas Raja Kenyalang dengan senyuman. Aku mengerti akan perasaannya yang sangat menyayangi puterinya itu. Bukan mudah untuk mengharungi situasi kehilangan puteri kesayangannya. Sambil tersenyum, Raja Kenyalang memandang ke muka aku. Tiba-tiba air mata Raja Kenyalang mengalir ke pipinya. Sejurus itu jugalah Raja Kenyalang ghaib dari pandangan.

"Pasti baginda sedih akan pemergian Sutera," bermonolog aku keseorangan.

Aku termenung memikirkan tentang permintaan Raja Kenyalang sambil mengharapkan aku akan menjumpai Sutera di alam manusia melalui kain biru yang baru aku serahkan kepada Raja Kenyalang. Kain biru itulah yang boleh membuatkan aku mengenalinya kerana kain itu ada tulisan nama panggilan aku dalam keluarga dan sedikit corak yang disulam tangan oleh nenek aku. Kain inilah satu-satunya yang ada di dunia dan aku pasti dengan kain itulah yang membolehkan aku mengenali Sutera di dunia manusia.

"Woi, Syam! Apa kau termenung dalam gelap tu? Cepat datang sini, VIP dah sampai!" jerit Chris kepada aku.

"Ok, ok. Aku datang!" balas aku dan terus menyertai rakan-rakan yang lain. Majlis dilangsungkan dengan gemilangnya.

*****

Empat jam sebelum penerbangan pulang ke Semenanjung, aku masih belum menjumpai Sutera. Bagaimanakah boleh aku menemui Sutera dari berpuluh ribu rakyat negeri Sarawak? Terlintas juga dalam fikiran aku bagaimana pula sekiranya aku tidak menemuinya langsung sehingga tamat hayat aku. Begitupun, aku masih teringat akan kata-kata Raja Kenyalang bahawa dia tidak akan memungkiri janji yang ditetapkan, aku juga akan mencuba untuk tidak memungkiri janji aku.

"Jom, kita angkat beg pergi ke bas. Sekejap lagi kita bertolak," tegur Hafiz kepada aku. Aku melihat jam, rupa-rupanya sudah pukul 11.53 pagi. Aku segera menangkut beg aku ke bas. Aku dan rakan-rakan yang dari semenanjung yang lain bertolak ke lapangan terbang ppada pukul 12 tengah hari.

Setibanya di lapangan terbang, kami beramai-ramai mendaftar masuk untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada pukul 3 petang. Pendaftaran ini mengambil masa yang agak lama untuk selesai memandangkan ada 34 peserta program ini yang dari Semenanjung Malaysia. Sementara menunggu pendaftaran diselesaikan, aku berjalan-jalan berseorangan seketika di luar kawasan daftar masuk. Di luar kawasan daftar masuk, ada beberapa peserta lain yang dari Sarawak menghantar kami pulang.


Di satu sudut, ada beberapa tempat duduk kosong dan beberapa peserta program yang menunggu kami yang akan pulang ke Semenanjung Malaysia habis mendaftar. Aku duduk di satu tempat duduk yang kosong. Mata aku melilau melihat galagat manusia di dalam lapangan terbang. Aku juga melihat rakan-rakan aku rancak berborak sementara menunggu pendaftaran masuk selesai.


Aku menoleh ke kanan. melihat beberapa orang yang duduk dalam barisan tempat duduk yang sama dengan aku. Berdekatan dengan aku, ada seorang peserta program yang duduk selang satu kerusi dengan aku. Liana namanya, seorang anak jati negeri Sarawak yang bersama-sama yang lain datang ke lapangan terbang untuk menghantar kami yang akan pulang ke Semenanjung Malaysia. Kami bersembang sedikit tentang penerbangan aku ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Kuantan.


Dalam sibuk bersembang, Liana mahu mengambil kaca matanya yang disimpan di dalam beg tangannya. Dia menarik bekas kaca mata dari beg tangannya, tiba-tiba satu benda terjatuh dari begnya. Sehelai kain biru. Aku menolongnya dengan mengambil kain dari lantai. Aku menyerahkan kain itu kepadanya semula.


"Oh, terima kasih," kata Liana sambil menyimpan bekas kacamatanya. Selepas itu, dia menghemparkan kain itu di atas ribanya untuk dilipat semula dan disimpan ke dalam beg.


Semasa kain itu dihemparkan, aku ternampak sesuatu seperti yang aku kenal pada kain itu. Aku bertanya kepada Liana, "apa yang tertulis pada kain itu?"


"Kain? Oh... Arul," balas Liana dengan memberi tahu tentang tulisan pada kain itu.


Aku terpaku. Nama itu adalah sama seperti yang ada pada kain yang aku serahkan kepada Raja Kenyalang malam tadi.


"Mana kamu dapat kain ini?" tanya aku lagi.


"Oh, rakan saya datang malam tadi semasa majlis makan malam, kebetulan dia tinggal di Santubong. Dia serahkan kain ini kepada saya. Katanya bapa saya yang berikan," balas Liana.


Aku terpangu kaku, terkejut.


"S... Sut... Sutera?" tanya aku.


"Sutera? Tidaklah, ini kain biasa," jawab Liana.


"Bukk... bukan, kamu Sutera?" tanya aku lagi.


"Kenapa kamu tanya? Sutera adalah nama panggilan saya dalam keluarga saya. Bagaimana kamu tahu?" balas Liana dengan satu pertanyaan.


"Erm... panjang kisahnya. Kenapa nama kamu tidak Sutera? Kenapa Liana?"


"Bapa saya pernah beri tahu, suatu masa nanti seorang akan datang mengenali saya sebagai nama Sutera, sedangkan dia itu tidak pernah saya kenal sebelum ini. Dia ini, kata bapa saya akan menunaikan janjinya kepada saya. Jadi, dengan meletakkan nama Liana dalam kad pengenalan, barulah saya dapat mengenali siapa orang yang dimaksudkan itu," jawab Liana.


"Kenapa kamu bertanya?" tanya Liana.


"Saya bertanya kerana pertamanya, saya kenal kain biru ini. Arul itu adalah nama panggilan saya dalam keluarga. Keduanya, saya pasti kamu adalah Sutera yang saya kenal dan saya cari. Ketiga, orang yang bapa kamu katakan itu adalah... saya," jawab aku kepada Liana. Liana kelihatan terkejut, tidak menyangka orang yang bapanya maksudkan itu adalah aku.


Kami berdua terdiam sebentar. Tanpa berkata apa-apa sambil kedua-duanya memandang baris kerusi di hadapan.


"Syam, jom. Dah selesai! Jom masuk dalam!" jerit Hafiz kepada aku dari jauh memberi tahu bahawa proses daftar masuk sudah selesai.


"Ok!" balas aku dengan ringkas.


Aku dan Liana bangun dari tempat duduk. Aku terus mengambil beg sandang aku dari troli dan bergerak ke pintu masuk ruang menunggu. Liana menyertai yang lain-lain untuk menghantar kami ke pintu masuk.


Setelah sampai di pintu masuk, aku sempat berkata kepada Liana, "Liana.... Erm... Sutera... saya tidak pasti apa nama yang perlu saya panggil. Hari ini saya tidak dapat memenuhi janji saya. Begitupun, saya akan pulang dan memenuhi janji saya seperti yang telah saya janjikan kepada ayahanda kamu, Raja Kenyalang."


"Erm... baiklah. Selamat pulang ke Pahang," balas Liana. Aku memusingkan badan aku dan kemudian melangkah masuk ke pintu masuk ruang menunggu. Sebelum sampai ke alat pengimbas, sempat aku menoleh kepada Liana dan berkata di dalam hati, "tuanku, patik akan menunaikan janji patik. Dia akan menjadi manusia yang baik dan tuanku pasti akan berbangga dengannya."


Aku melangkah pergi dan berlepas ke Semenanjung Malaysia.


"Selamat tinggal Bumi Kenyalang. Aku pasti akan kembali," ucap aku perlahan dalam senyuman.


----- TAMAT -----

Nota Pengarang:
Cerita ini adalah berdasarkan 80% kisah sebenar iaitu perjalanan Program Kembara Kepimpinan IPT pelajar 2010 yang diadakan di Sarawak dari 2-14 Disember 2010 dengan nama watak dari orang yang sebenar manakala 20% terdiri daripada fiksyen yang digarapkan dalam penceritaan untuk menambah plot dan mempelbagaikan perjalanan cerita. Harap maklum.

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.