Rumah Usang (Bahagian Akhir)

"Malam tadi aku nampak... kau... kau bercakap seorang diri menghadap dinding... tap... tapp... tapi yang buat aku takut bila apa yang kau cakapkan tu, ada... ada...," cerita Aiman tentang kejadian pada malam itu dengan suara yang tersekat-sekat.

"Ada apa? Kau ni, cakap biar jelas boleh tak?" balas aku dalam keadaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Aiman.

"Ada... ada suara budak perempuan Cina yang membalas percakapan kau," sambung Aiman. Sejurus itu jugalah aku terdiam. Nampaknya, apa yang berlaku pada malam tadi bukanlah suatu mimpi tetapi benar-benar terjadi. Jantungku berdegup kencang. Apakah yang yang dikehendaki oleh Mei Ling?

Aku cuba mengimbas kenangan lalu, kalaulah pernah sekali aku melakukan apa-apa kesalahan yang menyebabkan Mei Ling datang mencari aku.

Kemudian, aku terus ke rumah usang yang pernah aku nampak pada malam itu untuk menyelidik apakah yang ada di situ yang membuatkan Mei Ling datang kepadaku. Apabila sampai sahaja di sana, aku dengan cermat berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam rumah itu. Aku menyelinap masuk ke rumah itu melalui tingkap yang terbuka separuh.

Suasana di dalam rumah itu gelap gelita walaupun pada hari siang. Aku menyalakan lampu suluh dari telefon bimbit aku. Aku meneroka seluruh bahagian dalam rumah itu. Tiada apa yang mencurigakan. Kalau adapun hanyalah sarang-sarang burung walit yang barangkali dijaga oleh seseorang. Dalam keasyikan aku menyelidik seluruh rumah itu, aku terdengar deruman enjin sebuah kenderaan pacuan empat roda datang menghampiri rumah itu.

"Alamak, ada orang datang," berkata aku keseorangan menganggap pasti tuan punya rumah datang untuk mengambil hasil sarang burung walit yang ada di situ. Aku menggelabah.

"Aku mesti pergi dari sini," berkata aku lagi. Aku menyelinap keluar dengan perlahan-lahan tanpa disedari oleh orang yang baru sampai ke rumah itu. Dengan cermatnya, aku kembali ke kenderaan aku lalu pergi dari rumah itu tanpa dikesan oleh orang itu.

"Fuh, lega! Selamat aku."

Jam sudah menunjukkan masa pukul 7.30 malam. Aku keluar bersama-sama dengan beberapa kawan-kawan lain untuk makan di luar. Semasa dalam perjalanan, aku berasa pelik mengapa semua kawan-kawan aku yang ada di dalam kereta mendiamkan diri sahaja. Kebiasannya semuanya bising bersembang. Walaupun begitu, aku membiarkan sahaja dan menganggap mereka semuanya sudah penat bermain futsal pada petang tadi.

Waktu pulang pun begitu. Mereka mendiamkan diri sahaja. Tidak berkata apa-apa. Setelah samapi di rumah, aku terdengar satu bisikan di telingaku.

"Kau akan tahu malam nanti," kemudian bisikan itu hilang. Aku menjadi risau dan hairan, dari manakah datangnya bisikan itu sedangkan tiada sesiapa yang berada di belakangku pada masa itu.

Kini, masa sudah menunjukkan masa 2 pagi. Aku masih lagi tidak dapat melelapkan mata.Aku berasa kebosanan kerana tidak dapat melelapkan mata. Aku bangkit dan duduk di atas katil aku. Aku menelangkupkan muka aku seketika dan kemudiannya aku mengangkat muka aku dan memandang ke hadapan. Aku rasakan ada sesuatu di sisi sebelah kiri aku. Apabila aku menoleh, Mei Ling tiba-tiba berada di sebelah aku. Aku terperanjat lalu bangun dari katil dan berdiri jauh dari katil.

"Ap... apa kau mahu lagi? Kenapa kau ganggu aku? Pergi kau!" jerit aku kepada Mei Ling.

"Aku nak beri tahu kau sesuatu," balas Mei Ling.

"Apa yang kau nak bagi tahu? Apa dia?" tanya aku lagi dalam keadaan menggelabah.

"Aku... sebenarnya...." Mei Ling kemudiannya terdiam.

"Apa kau nak?! Kalau tak ada apa-apa, berambus kau dari sini!" jerit aku lagi.


"Aku nak kau pulangkan jam tangan yang kau ambil dari kubur aku semasa kau bermain-main di kubur aku dahulu! Kalau tak, aku akan siksa kau sehingga aku puas!" balas Mei Ling dengan bengisnya.

"J... jam? Mana ada aku ambil apa-apa! Aku tak pernah tahu pun ada jam tangan di kubur kau! Kubur kau pun aku tak tahu!" balas aku.

"Kau bohong! Kau mengambil jam tangan itu dan kau simpan dalam peti simpanan kau! Kau buat aku menderita selama ini!"

"Jam mana pula kau ni? Aku tak tahu langsung! Peti mana pula yang kau cakapkan? Aku mana pernah ada peti simpanan seperti yang kau cakapkan!" balas aku dengan tegas.

"Kau jangan bohong! Jika tidak, nahas kau nanti!" Mei Ling semakin mengamuk, bergerak perlahan-lahan menghampiri aku. Aku pula perlahan-lahan mengundur ke belakang sehinggalah aku terlanggar dinding. Aku sudah tiada tempat untuk berundur lagi. Wajah Mei Ling menjadi huduh, seperti sudah bersedia untuk menyiksa aku.

"Kau bohong! Kau sorok jam tangan aku! Jahanamlah kau, Syamsul!" jerit Mei Ling dengan nada bengis.

"Tidaaaaaaakkkkk! Eh, k... kej... kejap! Mei Ling, sekejap!" pohon aku kepada Mei Ling.

"Apa lagi yang kau mahu, ha? Kau dah buat aku menderita selama ini, masih mahu merayu lagi? Matilah kau, Syamsul!" balas Mei Ling tidak melayan kata-kata aku. Mei Ling semakin hampir. Tangannya mula mencekik aku.

"Mei Ling, sekejaaaaaaappp!" jerit aku lagi.

"Apa dia? Apa lagi kau nak?" Mei Ling berhenti menyerang aku.

"Kau sebut Syamsul. Siapa Syamsul?" tanya aku kepada Mei Ling.

"Kaulah Syamsul. Siapa lagi?" balas Mei Ling.

"Aku bukan Syamsul!"

"Bohonglah! Semua panggil kau dengan nama Syam! Jangan kau tipu aku!"

"Memanglah orang panggil aku Syam, tapi nama aku Mohd Fadzrul Hisyam. Bukan Syamsul!" terang aku kepada Mei Ling.

"Eh, kau bukan Syamsul bin Rahman? Nama bapa kau apa?" tanya Mei Ling.

"Nama bapa aku Badarudin. Kau salah orang ni!" balas aku kepada Mei Ling.

"Eh, salah orang? Takkanlah?" tanya Mei Ling lagi.

"Betullah kau salah orang. Ni, aku tunjuk MyKad aku. Nama aku Mohd Fadzrul Hisyam. Bukan Syamsul." jawab aku lagi sambil menunjukkan MyKad aku kepada Mei Ling.

"Lah, salah orang rupanya. Penat aku saja datang sini, rupa-rupanya salah orang!"

"Kau ni, nak kata hantu, dah memang hantu. Nak cari orang pun salah?"

"Silaplah. Apa nama tempat ni? Ni UPM ke?" tanya Mei Ling untuk mendapatkan kepastian.

"Bukan, sini UMP. Kau salah tempat ni. UPM di Serdang sana, sini Pahang. Jauh betul kau silap!" jawab aku dengan menutup kemusykilan Mei Ling.

"Penat saja aku bayar tol mahal-mahal nak ke sini. Rupa-rupanya Serdang saja?"

"Ya, UPM di Serdang."

"Maaflah ya, Hisyam. Aku salah orang. Aku rasa tertukar alamat dengan seorang lagi hantu semasa taklimat hantu semenanjung kelmarin. Kalau begitu, maafkan aku ya. Aku janji tak ganggu kau lagi. Nanti aku jumpa hantu yang lagi satu tu, aku tertukar alamat dengan dia. Nanti adalah hantu yang betul datang jumpa kau. Aku pergi dulu!" Mei Ling kemudiannya menghilangkan diri.

"Kejap, Mei Ling!" tak sempat aku memanggilnya semula, Mei Ling sudah lenyap. Aku mahu bertanya kepadanya, "nanti ada hantu yang datang jumpa aku ke? Hantu mana pula ni?"

Soalan itu tak kesampaian kepada Mei Ling. Aku pula terpinga-pinga, siapakah hantu itu.

-----TAMAT-----

Post a Comment

1 Comments

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)