Beberapa hari lalu, aku telah diberitahu oleh seorang sahabat bahawa aku mungkin telah melakukan kesalahan kepada seorang lagi sahabat aku. Namun, dia tak beri tahu siapakah dia. Namun begitu, aku mengerti. Mungkin benar aku pernah melakukan kesalahan kepada dia.

Kepada semua sahabat sekalian, aku secara terbuka memohon kemaafan kepada semua atas segala kesalahan dan kesilapan yang telah aku lakukan selama kita berkenalan. Kemaafan ini adalah merangkumi dari aspek sengaja, tak sengaja, terlepas kata, ketidak sopanan, tidak bekerjasama, kelalaian, keegoan, kurang mengambil berat, tidak sensitif, dan aspek-aspek lain.


Mungkin ada perkara yang sememangnya aku sengaja lakukan, dan ada juga yang dilakukan tanpa sengaja dan tanpa pengetahuanku, dan mungkin juga atas kelemahan aku sendiri. Jika ada apa-apa perilaku aku yang membuat sahabat semua tersentuh, kecewa, tak berpuas hati, marah, geram, menyampah dan perasaan-perasaan negatif lain, aku sekali lagi memohon kemaafan.

Aku bukanlah mahu meletakkan takdir untuk menjadi sebab aku melakukan kesalahan, namun aku bukanlah insan yang sempurna untuk menjadi sahabat terbaik kepada sahabat sekalian. Aku ini hanyalah insan yang hina dan kebiasaannya lupa siapa aku sebenar. Mungkin juga aku ini lemah dan tidaklah sehebat yang seperti sahabat sekalian mahukan daripadaku.

Mungkin juga atas sebab masalah-masalah besar mahupun kecil lain yang aku hadapi menyebabkan aku berperilaku tidak baik kepada sahabat sekalian. Aku sekali lagi memohon kemaafan di sini.

Sahabat sekalian, janganlah kelemahan diriku ini menjadi punca kepada keretakan persahabatan kita, dan janganlah kekuatanku menjadi harapan tinggi kepada sahabat sekalian.

Aku mungkin mengulangi kesalahanku, namun ingatkanlah aku. Sesungguhnya aku hanyalah seorang insan. Insan yang dalam segi istilahnya adalah pelupa.

Pandulah aku, dorongilah aku. Aku mungkin tak mampu menjadi ais yang mampu menenggelamkan kapal di lautan, namun aku hanya mampu menjadi kapal yang mungkin karam, mungkin juga tidak untuk berusaha mengapungkan isi-isi kapal.

Yang ikhlas,
Mohd Fadzrul Hisyam bin Badarudin