| 0 comments ]
"Teet... teet... teet..." telefon bimbit aku berbunyi. Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi.

"Ah, awal lagi! Tidur sekejap lagi lah. Nanti aku bangun semula," mengomel aku sendiri ketika separuh sedar.

"Eh, sini..." aku bangun kembali dari lamunan tidur, terus bangkit dan menyarung badan aku dengan tuala mandi. Mujurlah aku sedar, aku sekarang berada di Borneo. Bukan lagi di Kuala Lumpur yang waktu subuhnya pada jam 5.30 pagi. Aku bergegas, memasang lampu bilik lalu masuk ke bilik air dan mandi.

Air yang mencurah dari pencurah mandian yang dingin itu aku biarkan seketika kerana takut kesejukan. Dalam hati aku bemonolog lagi, "sejuknya air ni. Sah aku akan bersin-bersin nanti."

Apa yang aku sangkakan itu benar. Selesai sahaja mandi, terbersin-bersinlah aku tanpa henti. Aku membuka pintu bilik mandi, terlihat Bert sedang memberus gigi. Aku terus ke bilik untuk memakai persalinan aku.

Aku menjenguk ke luar tingkap. Aku terlihat seorang perempuan sedang berdiri tegak diam-diam di tepi bukit.

"Wah, rajin dia ni. Bangun awal pagi. Apa dia buat berseorangan di situ?" tertanya aku keseorangan dalam hati.

"Syam, awal kau bangun," sapa Bert yang baru selesai mandi. Menoleh pandangan kepada Bert dengan membalas dengan ketawa sinis sahaja. Apabila aku menoleh kembali untuk melihat perempuan tadi, aku terkejut. Perempuan itu sudah tiada.

"Eh, tak sampai dua saat aku toleh, dah hilang?"

*****

Program hari ini, banyak juga aktivitinya. Aku selaku orang yang konon dipandang sebagai YB di kampus aku, menjejak kaki di bangunan YB sebenar untuk bumi Kenyalang ini. Kompleks DUN Sarawak merupakan kompleks DUN kedua yang aku jejaki selepas di negeri Pahang semasa aku berurusan dengan Menteri Besar Pahang. Begitupun, di Sarawak ini, bukan masa persidangan DUN.

Semasa berada di tingkat sembilan, aku melihat permandangan bandaraya Kuching yang sungguh menarik. Tiba-tiba, aku terlihat satu susuk yang seperti aku kenali di tebing Sungai Kuching. Dalam hati aku terdetik, "eh, itu... macam... perempuan yang aku nampak pagi tadi. Apa dia buat di sini?"

Iras mukanya tidak jelas kelihatan walaupun cuaca sangat cerah ketika itu.


Petangnya pula, aku dan peserta program pergi ke Kampung Budaya Negeri Sarawak. Aktiviti kali ini agak berat, iaitu memerlukan untuk aku berlari-lari ke sana ke mari. Aku agak risau memandangkan kaki aku masih belum sembuh sepenuhnya dari kecederaan lama.

Setibanya di sebuah rumah di sana, tiba-tiba aku disapa oleh seorang gadis. Irasnya seperti aku kenal.

"Tak sangka kaki yang sakit, masih mampu lagi dibawa berlari?"

"Eh, siapa kamu?" tanya aku kepada perempuan tersebut. Dia hanya mendiamkan diri lalu berjalan pergi. Aku mengejarnya dan menghalang dia pergi.

"Siapa kamu?" tanya aku lagi. Dia tidak menjawab. Dia menoleh dan mahu berjalan pergi. Aku menghalangnya lagi.

"Siapa kamu?" aku bertanya untuk kali ketiga. Dia mendiamkan diri. Hanya tersenyum manis di hadapanku. Riak mukanya memang menenangkan hati setiap jejaka yang memandangnya. Irasnya memang menawan. Namun begitu, irasnya itu tidak aku hiraukan. Apa yang aku mahu adalah mengetahui siapakah dirinya.

Setelah sekian kali mendiamkan diri, akhirnya gadis itu bersuara, "tak kenalkan kamu kepadaku? Sudah dua kali kita bertemu. Masakan kamu tak ingat akan diriku?"

Aku kehairanan. Sejak bila pula kami pernah bertemu? Dalam aku memikirkannya, nama aku dipanggil oleh rakan sekumpulan aku. Aku menoleh seketika. Kemudian, apabila aku menoleh kembali ke gadis tersebut, dia ghaib sekali lagi. Dalam kehairanan, aku kembali kepada kumpulan aku.

*****

Setelah pulang ke bilik, aku masih belum berhenti memikirkan kejadian siang tadi. Siapakah gadis itu? Apa kaitannya dengan aku? Pelbagai soalan timbul dalam fikiran aku.

Malamnya, aku tidur dengan seribu persoalan yang tidak terjawab.

0 comments

Post a Comment

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.