Kembar Si Penghulu (Bahagian 7)

Aku dan rakan-rakan semuanya tiba di asrama dalam keadaan kepenatan. Masing-masing menurunkan beg pakaian masing-masing dari bas. Sementara aku menunggu giliran aku untuk mengambil beg, aku sempat melihat dan membelek kain yang diberikan Sutera tadi.

"Kawan-kawan, malam nanti kita buat latihan persembahan, ok tak?" Hafiz bersuara. Aku menoleh kepadanya lalu menyimpan kain di tangan aku.

"Boleh saja. Tak ada masalah. Nak buat di mana?" tanya Wan, ahli kumpulan aku yang paling tua di kalangan kami.

"Alah, ni kan tempat kau, takkan tak ada idea?" balas Hafiz.

"Apa kata kita buat di Kolej Bunga Raya? Aku ingat nak basuh baju di dobi kolej tu. Alang-alang menunggu, boleh kita berlatih sekali," Hanim menyampuk dalam perbualan.

"Ok. Tak ada masalah. Semua ok kan?" tanya Hafiz kepada anak-anak buahnya.

"Ok!" balas semua ahli kumpulan.

"Baik, kalau macam tu, kita jumpa selepas tamat aktiviti malam ni," Hafiz mengakhirkan arahannya selaku ketua kumpulan. Kemudian, kami semua pulang ke bilik masing-masing.

*****

Jam menunjukkan masa 11.23 malam. Aktiviti pada malam ini baru sahaja tamat. Semua ahli kumpulan bersedia untuk ke Kolej Bunga Raya untuk berlatih persembahan. Aku pula memaklumkan kepada kawan-kawan lain untuk balik ke bilik seketika.

"Aku nak balik bilik sekejap. Aku lewat sedikit."

"Ok," balas Hafiz.

Aku sampai di bilik dan menukar pakaian kepada pakaian yang lebih selesa untuk latihan. Aku terpandang pada kain yang diberikan Sutera. Minda aku mula teringatkan apa yang berlaku siang tadi dan kata-kata akhir Gagak sebelum dia ghaib.


"Malam ni. Apa dia nak buat malam ni?" tertanya aku keseorangan.

"Ah, tak ada apa-apa yang berlakulah nanti. Baik aku cepat, mereka pasti sedang menunggu aku di sana," berbisik aku keseorangan, mengabaikan kerisauan aku.

Aku melangkah keluar dari kawasan asrama. Berjalan dalam kegelapan dan sesat tidak terjumpa arah ke Kolej Bunga Raya.

"Bert kata, kena lalu ke sini kalau nak ke Bunga Raya. Ni macam jalan mati. Entah betul entah tidak dia ni," mengomel aku keseorangan mencari arah.

Dalam cahaya anak bulan yang samar-samar, aku melangkah lagi. Kemudian, anak mata aku terperasan satu pergerakan di sebelah kanan. Aku menoleh ke kanan untuk melihat apa yang ada. Namun begitu tiada apa yang aku nampak. Apabila aku menoleh ke hadapan semula, langkah aku terhenti dan terkejut.

"Gagak!" aku bersuara dalam keadaan terkejut melihat Gagak tiba-tiba muncul di hadapanku.

"Hahaha! Pasti kau rindukan aku. Eh, silap! Kau takkan rindukan aku. Pasti kau rindukan Sutera. Hahaha!" kata Gagak dalam gelap gelita. Pada waktu itu, aku hanya mampu terdiam sahaja.

"Kau pasti tertanya-tanya mengapa aku lakukan sebegini kepada kau, bukan? Nampaknya mereka tidak menceritakan sepenuhnya kepada kau. Kau lihat di sana. Hak kau... konon!" kata Gagak lagi.

Aku menoleh ke arah yang ditunjukkan gagak. Aku nampak Sutera dan dua orang tua di sebelahnya telah ditawan oleh tentera Gagak.

"Kau lihat mereka. Sudah tak terdaya lagi. Kau tahu apa yang mereka mahu? Mereka mahu memberikan seluruh kerajaan mereka kepada kau! Mudah benar jadi kau. Asalkan sahaja Sutera jatuh hati kepada kau, segalanya kau dapat! Aku yang sudah berabad menunggu, tidak mendapat apa-apa pun! Sudah lama aku menunggu masa ini... untuk menjadi raja kerajaan Kenyalang ini!" kata Gagak dalam nada kemarahan.

"Malam ini, akan berakhirlah hayat kau di sini! Oh... aku takkan biarkan kau mati dengan senang. Kau lihat dia ini! Lihat!" jerit Gagak lagi sambil memegang wajah Sutera yang tidak bermaya meronta-ronta untuk dilepaskan.

"Kau mungkin tidak tahu. Inilah bakal permaisuri kau bila sudah memerintah kerajaan Kenyalang nanti! Apakah mungkin kau sudah jatuh hati padanya? Masakan tidak. Wajahnya ayu, paras rupanya indah, perhiasannya menawan, tubuhnya bak idaman setiap lelaki. Bukankah ini rupa gadis yang kau idam-idamkan?" kata gagak lagi sambil membelai-belai rambut Sutera yang panjang lurus melepasi bahunya.

"Kau... kau... lepaskan mereka!" jerit aku, mencuba memberikan amaran kepada Gagak. Kononnya mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Sutera.

"Oh, berani kau, ya? Apa boleh kau buat? Sutera berada di tangan aku. Akan kujadikannya puteri kepada putera aku! Dua orang ini? Sudah tiada bergunanya lagi. Raja Kenyalang dan Permaisuri akan lenyap sekejap sahaja lagi. Hahaha!" ugut Gagak.

"Aku boleh berbuat apa-apa sahaja, asalkan mereka tak diapa-apakan!" balas aku, dalam perasaan yang bercampur baur ketakutan dan pada masa yang sama harus berani untuk menentang Gagak.

"Baiklah. Nampaknya kau sudah berani untuk menentang aku. Kalau kau mahu selamatkan mereka, aku mahu kau beradu tenaga denganku. Bayarannya, jika kau tewas, segala hak kau akan diserahkan kepada aku dan jiwamu menjadi hamba aku! Apakah yang kau mahu jika aku tewas?" tanya Gagak dengan penuh yakin bahawa aku akan tewas di tangannya.

"Baiklah, kalau begitu seluruh jiwa kau akan jadi hamba aku sekiranya kau tewas di tangan aku," jawab aku dengan yakin pada luaran walaupun diri sendiri tidak menyakini dengan kemampuan diri sendiri.

"Baiklah, aku setuju. Hitam, serahkan senjatamu kepada lelaki tak guna ini!" arah Gagak kepada salah seorang tenteranya untuk menyerahkan keris kepadaku. Aku tidak tahu berbuat apa dengan keris ini kerana aku bukanlah orang yang ada ilmu persilatan. Ilmu pertahanan diri yang pernah aku pelajari sebelum ini hanyalah Taekwon-do. Itupun hanya ke peringkat tali pinggang kuning. Latihan lanjutan yang pernah aku belajar pula adalah tempur tanpa senjata semasa berlatih dalam latihan ketenteraan.

Disebabkan aku tahu akan kelemahan aku menggunakan senjata, aku mencadangkan bahawa kami bertarung tanpa senjata, "apa ini? Senjata? Kau fikir aku takut dengan senjata? Jika kau hebat, jika kau berani, bertarunglah dengan aku tanpa apa-apa di tangan. Kau sanggup terima cabaran aku?"

"Nampaknya, kau sudah pandai mencabar. Baiklah. Kita bertempur dengan tangan kosong," balas Gagak.

"Oh, lagi satu. Kalau kau yakin dapat kalahkan aku. Suruhlah tentera kau lepaskan mereka bertiga dahulu. Bereka bukan boleh berbuat apa pun, kan? Nak kata cerdik, ada juga bengap kau ni sikit-sikit," kata aku lagi dengan ayat provokasi.

Dalam keadaan agak marah kerana diprovok, Gagak bersetuju dengan cadangan aku. Sutera, Raja Kenyalang dan Permaisuri dilepaskan oleh tentera Gagak.

"Baiklah. Aku sudah memenuhi permintaan kau. Ada apa-apa lagi?" tanya Gagak.

"Tak ada. Mari kita beradu!" balas aku. Kedua-dua kami berlari dan menghampiri diri masing-masing. Pertarungan bermula. Gagak menyerang aku dengan pantas. Aku mengelak dan menepis serangannya dengan segala yang termampu. Namun begitu, gerakannya yang pantas mengelirukan aku dan tumbukan padu mengenai perutku. Aku tertunduk menahan kesakitan dan terbatuk-batuk. Inilah pertama kali aku merasai keperitan perut yang ditumbuk padu.

"Sakit? Kuat juga tangan aku. Hahaha!" kata Gagak dengan angkuhnya. Kemudian, dia cuba lagi untuk menyerang aku dengan tumbukan kedua. Aku menepis dan sejurus itu juga aku mengangkat lutut aku lalu mengenai rusuk kanannya.

"Argh! Celaka kau!" jerit Gagak lalu menyerang aku bertubi-tubi dengan membuka langkah persilatan yang aku tidak mahir akan dengannya. Segala langkah serangannya sangat mengelirukan aku. Aku diserang dengan tanpa kasihan. Badanku menerima kesakitan teramat sangat. Tiada apa lagi yang mampu aku lakukan. Dalam sibuk aku mengelak dan menepis serangan Gagak, aku mengambil kesempatan pada bahagian rusuknya yang terdedah. Aku menyerang di bahagian rusuk kanannya yang telah aku serang sebentar tadi. Dia berundur seketika menahan kesakitan. Gagak kemudiannya menyambung serangannya. Tanpa disedarinya, aku menunduk dan menumbuk rusuknya sekali lagi. Kini aku berada di bawahnya. Aku menyerang bahagian halkumnya mengharapkan dapat mematikan pergerakannya kerana halkum adalah salah satu kelemahan utama.

Malangnya, tidak banyak perkembangan yang aku peroleh. Serangan aku tidak memberikan kesan besar kepada Gagak. Gagak semakin marah. Dia menggenggam kedua-dua tangannya dengan kemas. Kemudian, berjalan menghampiriku yang masih menahan kesakitan akibat serangan bertubi-tubi Gagak tadi. Gagak memegang leher bajuku dan mengangkat aku. Aku berdiri di hadapannya tanpa terdaya lagi. Aku berasa lemah. Aku sudah rasakan bahawa aku tetap akan kalah. Dengan seluruh upaya, gagak menghayun tangan kanannya ke arah rusuk aku. Hayunannya menyebabkan aku terpelanting beberapa kaki. Aku terbaring tidak terdaya. Hanya anak mata sahaja yang masih mampu aku gerakkan ketika itu.

Sutera bersama-sama Raja Kenyalang dan Permaisuri berlari mendapatkan aku yang terbaring di atas tanah tidak bermaya. Mereka memandang aku dengan wajah sedih. Sutera mula mengalirkan air mata melihat keadaan aku.

"Sutera, nampaknya tiada apa yang boleh kita lakukan lagi. Dia ini tidak lagi bermaya," kata Raja Kenyalang dengan nada kecewa.

Aku yang mendengar kata-kata Raja Kenyalang turut merasai kekecewaan dan memahami perasaan mereka.

"Apa lagi? Menyerah sajalah! Tak ada gunanya lagi kau melawan! Kau akan menjadi hamba aku, manusia! Hahaha!" sindir Gagak kepada aku.

Aku hanya boleh mendiamkan diri sahaja, tidak mampu berbuat apa-apa. Ketikanya aku hampir melafazkan kata-kata menyerah kalah, aku teringat akan kata-kata guru aku sebelum ini, "manusialah yang sebenarnya yang paling kuat di bumi ini. Walaupun tidak segagah gajag mahupun sepantas harimau, tetapi manusialah yang mampu menghancurkan ataupun menyelamatkan bumi. Malahan sekuat-kuat jin adalah selemah-lemah manusia."

Inilah kata-kata yang menaikkan semangat aku. Aku cuba bangkit semula sambil melafazkan, "aku adalah manusia. Gagak bukan manusia. Sekuat-kuat Gagak, selemah-lemah aku!" berulang-ulang kali sehinggalah berjaya berdiri walaupun dengan sedikit berbongkok.

Sambil menjerit kata-kata semangat, aku berlari menuju ke arah Gagak dengan laju lalu menghumban diri aku ke arah Gagak seperti seorang pemain ragbi. Gagak yang terkedu tidak sempat berbuat apa-apa. Gagak terbaring. Dengan serta merta aku bangkit dan menyerang Gagak bertubi-tubi sedaya upaya aku sehingga Gagak melafazkan kata-kata menyerah kalah. Akhirnya, aku menang pertarungan ini dan berjaya menewaskan Gagak.

Aku berdiri tanda puas dan menghadap Sutera, Raja Kenyalang dan Permaisuri. Aku tersenyum melihat mereka bersorak kegembiraan. Walaupun dalam keadaan lemah, aku berasa lega kerana semuanya telah berakhir.

"Tuanku, patik telah berjaya menewaskan Gagak," kata aku kepada Raja Kenyalang.

"Terima kasih atas bantuanmu. Kali ini, tiba masanya untuk kami memenuhi janji kami. Ambil surat ini. Di dalamnya, tersenarai segala perjanjian kita sejak 18 tahun dahulu," bala Raja Kenyalang sambil menghulurkan segulung surat yang dikatakan mengandungi perjanjian aku dengan Raja Kenyalang.

Ketika aku ingin membuka surat itu, tanpa aku sedar, Gagak sudah bangkit dan berdiri. Dengan serta merta, dia merampas keris daripada salah seorang tenteranya lalu berlari ke arah aku. Aku tidak menyedarinya kerana Gagak berada di belakang aku. Sejurus itu, Sutera menyedari tindakan Gagak lalu memegang bahu aku dan memusingkan tubuh kami dan dirinya membelakangi Gagak.

Gagak yang masih berlari dan sudah menghampiri aku terus menghunus keris kepada aku, tetapi tusukannya menembusi jantung Sutera. Semua yang ada di situ tergamam. Gagak menarik semula keris yang ditusuknya ke tubuh Sutera sama-sama tergamam kerana tersilap sasaran.

Raja Kenyalang dalam keadaan murka, bersumpah kepada Gagak, "Gagak, oleh sebab kamu melanggar janji-janjimu atas peraturan kerajaan Bumi Kenyalang, maka dengan kuasa yang ada pada beta, beta sumpah kamu untuk mati dengan keseksaan api!" Dengan serta merta, badan Gagak mula terbakar dan dalam sepantas kilat, tubuhnya dibakar dengan api membara lalu hilang tanpa abu.

Pada masa yang sama, Sutera menjadi lemah dan tidak bermaya. Aku sempat menyambut dirinya yang tumbang ke arah aku. Dengan perlahan, aku membaringkannya dan meletakkan kepalanya di atas riba aku.

"S... Sutr... Sutera... bertahan, cuba bertahan!" aku cuba memberikan harapan kepadanya untuk selamat.

"Tuanku, apakah ada cara untuk menyelamatkan Sutera? Gunakanlah segala kelebihan yang tuanku ada untuk menyelamatkannya!" pohon aku kepada Raja Kenyalang.

"Maafkan beta, beta hanya berkuasa untuk menghukum dan mematikan sahaja, tetapi bukanlah mengembalikan nyawa. Hanya Tuhan sahaja yang berkuasa atas segalanya," jawab Raja Kenyalang.

Aku berasa sedih dan kecewa melihat keadaan Sutera yang sudah tenat dan nyawa-nyawa ikan. Sutera sempat berkata, "Hisyam, maafkan saya. Saya tidak sempat untuk menunaikan janji saya kepada kamu. Maafkanlah atas setiap apa yang telah berlaku kepada kamu. Dari apa yang telah terjadi 18 tahun lalu sehinggalah sekarang. Maafkan saya."

Dengan perlahan, Sutera menutup matanya dengan perlahan. Wajahnya kelihatan tenang dan keayuannya kembali terpancar kelihatan walaupun maut sudah hampir meragut nyawanya. Dia hanya tersenyum melihat ayahanda dan bondanya. Kemudian, dia cuba mengangkat tangannya untuk mengusap muka aku untuk memastikan supaya aku tidak bersedih lagi. Namun begitu, hanya hujung jarinya sahaja yang sempat menyentuh kulit pipiku. Sutera tidak lagi berupaya, tanggannya itu kemudian jatuh menghempas bumi.

Dengan perlahan, tubuhnya itu perlahan-lahan berubah menjadi kepulan asap putih. Perlahan-lahan jugalah rupa bentuk tubuhnya bertukar menjadi asap putih. Angin dingin malam meniup perlahan-lahan meniup 'tubuh' Sutera ke udara dan kemudiannya hilang dari pandangan. Kini, tiada apa lagi yang berbaring di ribaku. Kosong.

Aku yang cuba menahan daripada mengalirkan air mata, merasai genangan air mata mula mengalir di pipiku. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Sutera telah pergi. Hanya tinggal aku, Raja Kenyalang, Permaisuri dan bekas tentera Gagak sahaja yang ada di situ. Raja Kenyalang dan Permaisuri bangun dan berdiri lalu berkata, "memandangkan Sutera sudah tiada, perjanjian kita sudah tidak ada nilai lagi. Kamu bebas untuk membuat perjanjian baru. Jumpa lagi kemudian hari. Fikirkan dahulu apa yang mahu kamu janjikan. Esok, barulah kita menetapkannya semula."

Raja Kenyalang, Permaisuri dan bekas tentera Gagak semuanya ghaib selepas itu. Aku yang masih kecewa dengan pemergian Sutera, dikejutkan dengan panggilan telafon dari Hafiz. Dengan perlahan aku mengankat telefon.

"Syam, kau mana? Kami semua dah ada di sini," kata Hafiz dalam talian. Aku melihat jam di tangan, menunjukkan sudah terlewat 30 minit.

"Ak... aku... aku sesatlah. Tolong bagi tau arah ke sana boleh?" jawab aku.

"Oh, tak ada masalah...."

Aku berjalan seorang ke tempat latihan dalam kegelapan. Aku masih lagi terkesan dengan apa yang berlaku tadi. Aku cuba menyembunyikan perasaan sedih aku dan pergi kepada rakan-rakan aku yang masih menunggu. Di dalam tanganku, masih terdapat surat perjanjian aku dengan Raja Kenyalang. Aku hanya membukanya ketika sudah kembali ke bilik asrama aku.

Aku membuka surat itu, dan mula membaca perjanjian yang ditulis dalam tulisan jawi. Perkara pertama yang aku terbaca ialah tajuknya, 'Perjanjian Warisan Kenyalang' bertarikh 8 Jamadil Akhir 1413. Kemudian, aku membaca isi kandungan perjanjian itu.

Post a Comment

0 Comments